Mi kolok biru yang dihidangkan bersama-sama hirisan buah-buahan memberi kelainan kepada hidangan istimewa ini.
Kafe Manna diusahakan oleh Lim Ee Hua, 59, bersama-sama anak serta menantunya menyediakan menu mi kolok dengan buah.
Katanya, warna biru mi menjadikan hidangan ini tular dan mendapat permintaan.
Warna biru mi tersebut datang daripada bunga telang yang dibeli daripada pekebun tempatan kemudian dijadikan pewarna makanan.
Inspirasi menu ini datang dari sebuah cerita yang agak lucu.
“Kami sering mendengar pertanyaan tentang mengapa warna mi kolok sentiasa sama?
“Bermula dari situ, kami mula menjalankan eksperimen, membuat percubaan mengenal pasti warna yang sesuai, hanya untuk mencipta sesuatu yang luar daripada kebiasaan.
“Bahkan, sekarang saya masih mencari cara mencipta semula mi kolok, mencari ramuan yang membuat makanan tempatan ini semakin menyerlah,” katanya.
Dia terkejut melihat sambutan luar biasa diterima disebabkan mi kolok biru sehingga tular di Facebook.
Lim berkata, dia terlibat dalam industri minuman dan makanan lebih 20 tahun, bermula awal 20-an dengan gerai nasi ayam di sebuah kilang elektronik.
“Sekitar empat tahun lalu, saya berpindah ke sebuah medan selera di bandar dan menjalankan perniagaan nasi ayam serta makanan barat.
“Pada masa yang sama, anak perempuan saya mengurus gerai kuetiau goreng di medan selera yang sama,” ujarnya.
Malangnya, pemilik medan selera tersebut membuat keputusan berhenti tahun lepas dan semua pemilik gerai di situ terpaksa berpindah.
Proses perpindahan itu sangat mencabar bagi mereka sekeluarga kerana kebanyakan medan selera memerlukan bayaran sewa yang mahal.
Mereka terus mencari selama setahun setengah.
Terdapat kenalan melepaskan rumah kedai miliknya dan Lim memutuskan untuk dijadikan tempat perniagaan.
Kedai mereka berfokus kepada makanan tempatan dan sedikit makanan jalanan asal Taiwan dengan gubahan mengikut cita rasa, antaranya gulung kukus, bebola nasi dan pulut goreng.
Idea menu datang daripada anak lelakinya yang belajar bidang kulinari di Taiwan.
“Anak lelaki saya mencadangkan membuat resipi sendiri berkonsepkan makanan jalanan di Taiwan menggunakan ramuan dan bahan tempatan,” ujarnya.
Kedai mereka terus membuat sedikit perubahan dan kelainan ke atas minuman kegemaran tempatan iaitu kopi sejuk.
PELBAGAIKAN MENU UNIK
Diselitkan dengan cetusan kreatif, hidangan kopi digabungkan dengan perisa tidak konvensional seperti kelapa dan lemon yang menciptakan tekstur harmoni kopi dan perisa lain.
“Kami terinspirasi oleh kopi yang dihidangkan di negara luar dan kami ingin mencabar diri menciptakan kopi dengan perisa unik.
“Tempoh eksperimen dijalankan mengambil masa yang agak lama, tapi kami akhirnya membuat keputusan menggabungkan perisa tersebut.
“Kami juga sentiasa mencari cara menciptakan perisa baharu,” katanya.
Harga bagi air kopi tersebut sekitar RM9.90 — dihidang bersama-sama susu sejat dan dihias dengan krim.
Nama Kafe Manna juga memiliki cerita bermakna disebaliknya.
Nama tersebut dicadangkan oleh rakan bersempena dengan Book of Exodus, yang menceritakan tentang pelarian orang Israel dari Mesir.
Seperti diperinci dalam kitab, orang Israel berjalan di padang pasir selama tiga hari tanpa sebarang makanan dan mereka mula membuat keluhan kepada Moses dan Aaron.
Moses berdoa kepada Tuhan kemudian berjanji membekalkan mereka roti.
Keesokan paginya, orang Israel bangun dan melihat tanah yang diselubungi dengan bahan menggelupas — manna.
Manna ialah roti yang dijanjikan oleh Tuhan, membantu mereka meneruskan perjalanan ke tempat yang dijanjikan.
Lim berkata, cerita tersebut memiliki kepentingan dalam dirinya, kerana Manna dilihat sebagai lambang rezeki dan kepedulian Tuhan kepada umatnya.
“Saya rasa nama itu sangat sepadan kerana bagi saya, kedai ini sebagai peluang serta rahmat yang diberikan kepada kami sekeluarga,” tambahnya.
Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, dia tetap bertahan sehingga semuanya mendatangkan keuntungan.
Kafe Manna menerima sambutan baik sejak pertama kali dibuka beberapa bulan yang lepas.
“Saya bersyukur dengan perkembangan perniagaan ini beberapa bulan setelah dibuka dan cara pemasaran kami mendatangkan hasil lumayan serta membantu mengembangkan perniagaan ini,” ujarnya.
TERUS OLAH RESIPI
Sebagai ahli perniagaan yang bercita-cita tinggi, dia merancang mengembangkan perniagaannya dengan lebih luas serta behasrat mencipta menu baharu menggunakan resipi halal untuk penduduk tempatan.
“Untuk sekarang, kami masih menggunakan cara tradisional membuat mi kolok, tapi kami mencari alternatif lain seperti minyak kacang atau minyak bawang untuk membuat mi kolok.
“Kami berazam mengekalkan keaslian rasanya dan menjadikan makanan kami sesuai untuk rakan Muslim kita,” kongsinya.
Lim juga masih mencari cara mencipta lebih banyak resipi yang menggabungkan makanan jalanan Taiwan.
Kafe Manna terletak di Jalan Lapangan Terbang dan beroperasi pada Isnin hingga Sabtu bermula 7 pagi hingga 6 petang.