KOTA SAMARAHAN: Memorandum Persefahaman (MOU) antara UNIMAS dengan agensi perhubungan awam, Citrine One Borneo Sdn Bhd memberi peluang kerjaya kepada pelajar di universiti tersebut.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata kerjasama itu turut mewujudkan peluang kepada pelajar terpilih dan berkelayakan yang berhasrat meneruskan kerjaya dalam perhubungan awam.
“Pelajar dapat menyertai penempatan latihan yang ditawarkan oleh Citrine dan MOU itu turut menggariskan kerjasama termasuk perkongsian maklumat akademik, maklumat ilmiah, bahan dan penerbitan antara fakulti dengan kakitangan daripada kedua-dua pihak.
“Kerjasama itu juga meliputi penyelidikan organisasi, kursus pendek, lawatan, dan sebarang aktiviti dalam bidang kepentingan bersama,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyaksikan majlis MOU antara UNIMAS dengan Citrine One Borneo Sdn Bhd di sini, semalam.
UNIMAS diwakili oleh Naib Canselor, Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi manakala Citrine One Borneo Sdn Bhd diwakili oleh Rakan Kongsi Kumpulan Citrine, Junaidi Asmara.
Abdullah Saidol turut menzahirkan keyakinan bahawa MOU itu membuka jalan kepada UNIMAS di samping mendorong pelajar ke arah kejayaan dalam perjalanan akademik dan profesional.
Sementara itu, Junaidi berkata objektif syarikat itu adalah untuk memperkasakan organisasi dan individu dalam industri media yang semakin kompleks dan cepat berubah seiring perubahan masa kini.
“Tambahan pula, kami memahami bahawa elemen penting dalam memacu pertumbuhan industri di Malaysia Timur ialah pemupukan bakat muda.
“Oleh itu, Citrine komited menjalinkan kerjasama kukuh dengan institusi pendidikan serta bekerjasama rapat dengan mereka untuk membangunkan kumpulan profesional yang dapat meningkatkan dan memacu masa depan media, komunikasi dan perhubungan awam di rantau ini.
“Kami turut berhasrat untuk merapatkan jurang dalam pengetahuan dan infrastruktur di Malaysia Timur dan memacu pertumbuhan industri untuk manfaat semua dan kemajuan negara kita,” katanya.
Untuk rekod, Citrine ditubuhkan pada 2001 dan mempunyai pengalaman luas dalam membantu pelanggan menyediakan kepakaran komunikasi untuk syarikat.