KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sekali lagi mencipta sejarah apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan tujuh institusi pengajian tinggi (IPT) terkemuka dari Indonesia.
MoU tersebut merupakan satu langkah penting ke arah kerjasama antarabangsa yang akan memupuk kecemerlangan akademik, kerjasama penyelidikan, dan pertukaran budaya antara UNIMAS dengan institusi berkenaan.

Antara universiti yang memeterai MoU termasuk Universitas Borneo Tarakan; Universitas Jambi; Universitas Khairun; Universitas Muhammadiyah Pontianak; Universitas Negeri Malang; Universitas OSO; dan Universitas Samudra.
Naib Canselor UNIMAS Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, mereka melihat kerjasama antarabangsa merupakan satu langkah ke hadapan sekali gus memandang serius perkara berkenaan.
“MoU yang dimeterai itu juga bakal membuka peluang kerjasama yang luas termasuk penawaran program peringkat Doktor Falsafah (PhD) kepada rakan-rakan dari Indonesia.
“Pada masa yang sama, UNIMAS telah membuat polisi atau dasar yang menawarkan diskaun kepada pelajar yang berasal dari Indonesia dan diskaun tersebut juga bergantung kepada bilangan pelajar yang boleh dihantar ke universiti kita.
“Kami juga menyediakan banyak kemudahan seperti makmal, kemudahan di lapangan, di perpustakaan dan termasuk kemudahan pemebelajaran jarak jauh terbuka (ODL) atau dalam talian yang kini sedang diberikan tumpuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoU antara UNIMAS dengan Institusi Indonesia di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR Putra) UNIMAS, di sini, semalam.
Tambahnya, kira-kira dua minggu lalu beliau juga telah berkunjung ke Pontianak, Indonesia dan telah menandatangani 40 MoU bersama institusi-institusi kelolaan Kementerian Agama Republik Indonesia.
Hadri sama Ketua Delegasi merangkap Wakil Rektor Bidang Umum dan Keuangan, Universitas Tanjungpura (UNTAN) Profesor Dr. Jamaliah, S.E, M.Si; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UNIMAS Profesor Dr Ahmad Hata Rasit; Penolong Naib Canselor (Kepimpinan dan Pembangunan) UNIMAS Datuk Mohd Fadzil Abd Rahman; Rektor Universitas Borneo Tarakan Profesor Dr. Adri Patton, M.Si; Ketua Lembaga Penelitian dan Pengabdian kepada Masyarakat, Universitas Borneo Tarakan Dr. Etty Wahyuni MS, S.Hut., M.P.; serta wakil yang lain.