Unimas kaji kaedah bina ketahanan sosial

KOTA SAMARAN: Unimas akan melancarkan projek penyelidikan antarabangsa maya mengenai kaedah membina ketahanan sosial melalui Play. Unimas dalam kenyataan berkata, ketahanan merujuk kepada kebolehan seseorang untuk bertahan atau pulih secepat mungkin.

“Ketika dunia belajar untuk mengadaptasi dan menyesuaikan diri dengan norma baharu, ketahanan sosial semakin penting untuk diterima. “Ketahanan sosial adalah cara komuniti menangani atau bertindak balas kepada tekanan luaran dan gangguan, seperti apa yang kita hadapi dengan pandemik Covid19,” jelasnya.

Gangguan boleh berlaku ekoran perubahan sosial, politik dan persekitaran. “Untuk mengatasi pandemik Covid-19, kita harus belajar cara untuk melindungi diri sendiri dan orang tersayang dengan patuh pada nasihat kesihatan awam,” katanya.

Sekumpulan pengkaji di Unimas sedang mengkaji konsep Play yang boleh digunakan sebagai pedagogi untuk membina ketahanan sosial dalam kalangan belia Asia. Pasukan tersebut terdiri daripada Dr Jacey-Lynn Minoi, Profesor Madya Dr Fitri Suaray Mohamad, Profesor Dr Tarmiji Masron, Profesor Madya Dr Tan Chong Eng, Dr Leonard Lim, Dr Aazani Mujahid; Dr Floriana Lendai, Dr Farah Zaini dan Chuah Kee Man berkolaborasi dengan tiga universiti di United Kingdom (UK), Vietnam dan Indonesia. Mereka akan membangunkam model pedagogikal yang akan menggalakkan pembangunan ketahanan sosial dalam komuniti setempat.

“Dengan menggunakan kaedah pemusatan komuniti, golongan muda akan mempelajari kemampuan khusus tanpa disiplin. Ia akan membina lebih daripada memenuhi persahabatan dan pertukaran idea.

“Sejajar dengan Matlamat Kemampanan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PPB) mengenai pendidikan yang adil dan inklusif, kami mengkaji impak pendidikan transformatif melalui pendekatan dan pengalaman bermain golongan muda di Malaysia, Indonesia dan Vietnam,” jelasnya.

Menurutnya, masyarakat bekerja, berfikir dan bertindak sebagai individu dan kolektif dalam kumpulan. “Setiap seorang daripada kita mempunyai kepelbagaian minat, bakat, kebolehan, kemahiran dan sumber.

“Apabila berada dalam krisis atau menghadapi perubahan cabaran, kita menggunakan apa-apa yang kita tahu. “Apabila kita bermain permainan dan tersangkut pada satu cabaran, kita melakukan tindakan yang kita tahu.

“Pasukan pengkaji bercita-cita untuk menghasilkan model pedagogikal yang akan digunakan untuk membangunkan generasi belia yang bersedia menghadapi perubahan dan cabaran,” ujarnya.

Projek kajian itu akan dilancarkan secara maya hari ini (24 Jun), mulai jam 4.00 petang. Mereka yang berminat boleh mendaftar di https://aces.gchangers.org/. Rakan dari Coventry University, Universitas Muhammadiyah Ponorogo (UMPO), and Hanoi University of Science and Technology (HUST) turut tampil untuk membentangkan perspektif dan peranan mereka dalam projek.