Legenda purba yang merentas Laut China Selatan kini bertaut dalam satu wadah persuratan menerusi Majlis Pelancaran Buku Antologi Puisi Puteri Saadong-Puteri Santubong 2026, berjudul Salam Buat Santubong yang diadakan di Lobi Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) baru-baru ini.
Program anjuran FPBK UNIMAS dengan kerjasama Persatuan Penulis Kelantan (GEMA) itu mempertemukan warisan budaya Sarawak dan Kelantan menerusi nukilan puisi.

Antologi yang diselenggarakan oleh Ruzila Man tersebut mengangkat warisan tradisi lisan menerusi dua sosok legenda ikonik—Puteri Santubong yang dekat di hati masyarakat Sarawak dan Puteri Saadong yang menjadi lambang kebanggaan tradisi lisan masyarakat Kelantan.
Dekan FPBK UNIMAS, Dr. Dillah Tuah berkata, penganjuran pelancaran antologi puisi ini memainkan peranan besar buat fakulti dalam merealisasikan aspirasi UNIMAS sebagai sebuah universiti dipacu komuniti.
“Universiti bukan sekadar membawa ilmu kepada masyarakat, tetapi belajar daripada masyarakat, mengangkat pengetahuan mereka dan membangunkan ilmu bersama-sama.
“Legenda, bahasa, memori dan budaya masyarakat merupakan sumber ilmu yang sangat bernilai,” ujar beliau ketika ditemu bual Suara Sarawak pada Majlis Pelancaran Buku Antologi Puisi Puteri Saadong-Puteri Santubong 2026 di Lobi FPBK UNIMAS baru-baru ini.
Sastera sebagai Medium Warisan Generasi Muda
Mengulas mengenai peranan kesusasteraan tempatan dalam era moden, Dr. Dillah menegaskan bahawa legenda warisan hanya akan terus hidup sekiranya ia diceritakan semula mengikut kesesuaian zaman.
Menurut beliau, tradisi lisan yang suatu ketika dahulu diwarisi menerusi penceritaan mulut ke mulut kini boleh disuntik nafas baharu menerusi pelbagai bentuk karya kreatif, termasuklah puisi, novel, muzik, filem, animasi, podcast dan platform media sosial.
“Puisi memberi ruang kepada generasi baharu untuk mentafsir warisan tersebut mengikut zaman mereka. Generasi muda bukan sekadar penerima cerita, tetapi bertindak sebagai penyambung warisan komuniti kepada generasi seterusnya.
“Dari sudut akademik, kisah Puteri Saadong dan Puteri Santubong menawarkan khazanah ilmu yang luas untuk dikaji merangkumi aspek bahasa, sastera dan sosial.
“Bagi pakar dan penyelidik, legenda menyimpan kekayaan kosa kata, nama tempat, ungkapan serta jati diri masyarakat. Beliau menekankan bahawa komuniti harus diiktiraf sebagai pemilik pengetahuan dan bukannya sekadar objek kajian semata-mata,” jelasnya.
Sarawak Sebagai ‘Makmal Hidup’ Era AI
Menyentuh mengenai cabaran teknologi masa kini, khususnya kandungan digital dan Kecerdasan Buatan (AI), Dr. Dillah berpendapat bahawa kemajuan teknologi tidak seharusnya mengikis identiti serta karya asli tempatan.
“Teknologi seperti AI boleh membantu proses penghasilan kandungan, namun teknologi tidak mempunyai pengalaman membesar di rumah panjang, kehidupan di kampung pesisir, mahupun perjalanan di sungai-sungai Sarawak. Teknologi boleh membantu kita bercerita, tetapi komuniti yang memberikan kita cerita tersebut.
“Pihak fakulti sentiasa menggalakkan mahasiswa menjadikan Sarawak sebagai ‘makmal hidup’. Pembelajaran di FPBK UNIMAS tidak dibatasi di dalam bilik kuliah, sebaliknya mahasiswa digalakkan turun ke lapangan, bertemu masyarakat, mendengar kisah legenda tempatan dan menterjemahkannya ke dalam bentuk penyelidikan serta karya kreatif yang bernyawa,” katanya lagi.
Bagi menangani cabaran minat generasi muda yang semakin terhakis akibat persaingan kandungan digital pantas, pendekatan pengajaran sastera kini perlu diubah.
Sastera tidak lagi boleh diajar secara hafalan dan peperiksaan semata-mata, sebaliknya diangkat sebagai satu pengalaman interaktif.
Misi Mengangkat Suara Borneo ke Persada Dunia
Di samping itu, melihat kepada kejayaan penerbitan antologi ini, FPBK UNIMAS merancang untuk memperluas projek seumpama ini ke seluruh pelosok Sarawak, merangkumi khazanah cerita dari Kuching hingga ke Limbang dan Lawas.
Malah, hubungan dua hala antara universiti dan komuniti akan terus diperkukuh menerusi penerbitan siri buku, dokumentari, arkib digital, serta persembahan animasi pada masa hadapan.
Justeru, Dr. Dillah menzahirkan harapan tinggi agar kesusasteraan Sarawak mampu melahirkan barisan penulis muda yang berkeyakinan tinggi untuk membawa suara tempatan ke peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
“Karya dan cerita dari kampung, rumah panjang, sungai, dan pedalaman Sarawak mempunyai nilai sejagat yang besar untuk dikongsikan kepada dunia.
“Apabila karya anak Sarawak dibaca di Kuala Lumpur, Jakarta, London mahupun Tokyo, dunia akan mengenali akar warisan yang melahirkannya. Kita bukan sahaja mahu membawa dunia ke Sarawak, tetapi mahu membawa suara Sarawak dan Borneo kepada dunia,” ujarnya.




