Unimas periksa pelajar, staf

KOTA SAMARAHAN: Unimas optimis dapat menangani penularan wabak novel koronavirus (2019-nCov) dalam kalangan warga pelajar dan staf.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Dr Ahmad Hata Rasit berkata, sejak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan arahan untuk memantau pelajar di institusi pengajian, IPT itu melakukan lima mesyuarat dan melakukan pemeriksaan terhadap pelajar dan kakitangannya.

“Kami bukan sahaja melakukan pemeriksaan terhadap pelajar antarabangsa, tetapi juga pelajar termasuk kakitangan tempatan yang baharu sahaja pulang (melancong) dari China.

“Kami mengarahkan mereka membuat laporan ke Pusat Kesihatan Unimas untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Dr Ahmad Hata berkata demikian kepada media selepas Syarahan Perdana: Kisah Patologi dan Kanser oleh Profesor Dr Mohammad Zulkarnaen Ahmad Narihan di Pusat Islam Tun Salahuddin (Pitas) di sini, semalam.

Tambahnya, sembilan warga Unimas terdiri daripada pelajar dan kakitangannya masih dikuarantin di rumah masing-masing.

“Tujuh daripadanya sudah kembali bertugas. “Manakala dua lagi akan menghabiskan tempoh kuarantin dalam masa dua hari lagi,” jelasnya.

Selain itu, beliau juga menjelaskan sembilan warga universiti tersebut tidak mengalami simptom yang membolehkan mereka disyaki mempunyai virus tersebut.

“Unimas mempunyai pusat kesihatan.

“Kami minta pasukan petugas untuk mengawasi pelajar sejak 30 Januari lalu.

“Unimas tidak mempunyai ramai pelajar atau kakitangan yang melancong ke China.

Lagipun, mereka akan diperiksa di lapangan terbang.

“Kami juga ada melakukan saringan terhadap pelajar yang baharu balik dari negara tersebut,” katanya lagi.

Suara Sarawak