KUCHING: Seramai 160 atlet dan pegawai Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) membawa cabaran universiti pada Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) Kali Ke-46, 2026 yang berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu, dari 6 hingga 15 Ogos ini.
Kontinjen UNIMAS yang menyertai 15 acara sukan itu menyasarkan untuk membawa pulang lapan pingat emas, lapan perak dan lapan gangsa pada kejohanan berkenaan.
Antara acara yang disertai ialah badminton, bola sepak veteran, bola tampar lelaki dan wanita, catur, dart, futsal lelaki dan wanita, memanah, olahraga, petanque lelaki dan wanita, ping pong serta boling tenpin lelaki dan wanita.
Pendaftar UNIMAS, Azlan Ramli, yang mewakili Naib Canselor UNIMAS, berkata seluruh kontinjen diharap dapat mempamerkan prestasi terbaik, selain menjunjung semangat kesukanan, disiplin dan integriti sepanjang kejohanan.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen UNIMAS ke SUKUM Kali Ke-46 di Dewan CTF 1, UNIMAS pada 4 Ogos lalu.

Pada majlis sama, turut berlangsung penyerahan Jalur Gemilang kepada tiga staf UNIMAS yang terpilih mewakili Malaysia melalui Persatuan Va’a Malaysia pada IVF Va’a World Sprint Championship Singapore 2026, yang berlangsung dari 17 hingga 30 Ogos ini.
Tiga wakil berkenaan ialah Hardy Suntol (AT2HB), Mahadir Hassan (Pejabat Pembangunan) dan Monica Anak Igu (Pejabat Pembangunan).
Azlan berkata, pemilihan ketiga-tiga staf berkenaan membuktikan kecemerlangan warga UNIMAS bukan sahaja di peringkat universiti dan kebangsaan, malah turut mendapat pengiktirafan untuk membawa cabaran negara di pentas antarabangsa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua jurulatih, pengurus pasukan dan urus setia yang bertungkus-lumus membuat persiapan bagi memastikan penyertaan UNIMAS berjalan lancar.
Katanya, kejayaan tiga wakil negara itu juga diharap menjadi inspirasi kepada seluruh warga universiti untuk terus mengharumkan nama UNIMAS di persada antarabangsa.
Kontinjen UNIMAS pada SUKUM Ke-46 membawa motto “UNIMAS Lestari, Warga Sihat, UNIMAS Cemerlang”, yang mencerminkan komitmen universiti dalam membudayakan gaya hidup sihat, memperkukuh perpaduan warga serta melahirkan atlet yang berdaya saing dan cemerlang.






