
KOTA SAMARAHAN: Keputusan untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) adalah pilihan tidak sengaja yang menghadiahkan kejayaan, kata Wan Normardhiah Wan ‘Aizuddin.
Penerima Anugerah Canselor itu juga memberitahu, dia tidak menyangka dapat menerima anugerah tersebut kerana Unimas mempunyai banyak pilihan pelajar.
“Saya masuk ke Unimas boleh dikatakan tidak sengaja, tetapi apabila mencapai tahap ini saya sedar bahawa ia adalah tempat terbaik dan sepatutnya saya berada,” katanya.
Siswazah Program Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Kejuteraan itu berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Konvokesyen Komemoratif, Unimas hari kedua di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR Putra), dekat sini, hari ini.
Normardhiah dilahirkan pada 10 Januari 1997, dari Kuala Terengganu itu merupakan penerima Anugerah Kepujian Dekan sebanyak tujuh kali;
Anugerah Biasiswa Yayasan Sime Darby (SD) – Peneraju Tunas Potensi Bursary; dan Penerima Anugerah Mahasiswa Terbaik Fakulti Kejuruteraan 2018 dan 2019.
Selain itu, dia pernah aktif dalam aktiviti kampus termasuk memegang jawatan Presiden Persatuan Pelajar Kejuruteraan Mekanikal 2018/2019; Pengarah Program – Mobility Program Beyond Unimas; Pengarah IMechE Introductory Talk Program (2019); Pengarah Program Robotics Workshop; Timbalan Pengarah Program Visit to National University Singapore.
Menurutnya, dia menuntut di Unimas selama lima tahun iaitu bermula dengan pengajian di peringkat Asasi setahun seterusnya ke peringkat ijazah sarjana muda selama empat tahun.
Ditanya mengenai rahsia kejayaan walaupun sibuk dengan aktiviti kampus jelasnya, dia sentiasa mementingkan sikap rajin bertanya dan fokus di dalam kelas.
Dalam pada itu, Normardhiah juga memaklumkan kini dia bekerja sebagai jurutera di syarikat Gas Malaysia di Shah Alam, Selangor.
