Unimas turut bantu pelajar luar kampus

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) komited dalam memastikan kebajikan pelajar luar negara tidak terabai sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Seramai 57 pelajar luar negara yang menetap di luar kampus mendapat sumbangan keperluan makanan daripada institusi berkenaan. Ketua Unit Hubungan Antarabangsa Unimas, Zulkarnain Ali berkata, sumbangan dilakukan berikutan pelajar tersebut tidak mendapat bantuan makanan seperti pelajar yang menetap dalam kampus.

Menurutnya, program agihan makanan meliputi lima zon, termasuk tiga di Kota Samarahan dan dua di Kuching. Pelajar luar negara turut terkesan akibat tempoh PKP yang akan dilanjutkan selama dua minggu lagi.

Pelajar dari Jepun, Hanna Aoyama, 22, berkata, beliau terpaksa akur dengan perintah yang dilaksanakan oleh kerajaan demi keselamatan.

Lutful Hassan Sayed, 25, yang berasal dari Bangladesh mendedahkan perasaan rindu terhadap keluarga dan hanya mampu diluahkan menerusi media sosial serta membuat panggilan video bersama-sama keluarga.

Manakala Hanan Alfakih, 24, dari Yaman berkata, beliau bersyukur atas keprihatinan Unimas. “Tekanan cukup hebat pada awal PKP, namun sekarang lebih selesa.

Kami hanya perlu memastikan diri sentiasa selamat dan hanya keluar untuk perkara penting sahaja,” ujar Hanan.

Suara Sarawak