KALI pertama Sukan Malaysia dipertandingkan di Sarawak pada 1990, iaitu 33 tahun yang lalu.
Ketika itu, saya berusia 13 tahun.
Belajar tingkatan satu di Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman, Kuching.
Seperti orang lain, saya bangga kerana Sukma dianjurkan di Sarawak.
Saya ketika itu berhasrat untuk pergi ke stadium, lokasi pertandingan.
Namun, disebabkan kekangan masa bapa bekerja, selain tiada pengangkutan sendiri, keinginan itu ditolak ke tepi.
Ramai dalam kalangan kami (rakan-rakan sekampung dan satu sekolah) tidak dapat pergi.
Jika hendak pergi pun, mungkin perlu berjalan kaki sekitar hampir satu jam. Ketika itu, saya tidak tahu sama ada disediakan pengangkutan percuma untuk ke stadium.
Tiada sesiapa yang menghebahkan kepada kami.
Jika ada pun hebahan di radio, ramai antara kami tidak mempunyai radio. Ada pun televisyen, hanya boleh ditonton pada waktu malam.
Bekalan elektrik diperoleh dengan menyambung wayar ke rumah jiran yang mempunyai generator.
Biasanya, jiran akan memasang generator pada sebelah petang hingga malam.
Bayaran kalau tidak silap RM3 untuk sehari, dan bapa buat bayaran secara bulanan.
Jika dapat menonton siaran secara langsung di TV1 atau TV2 ketika itu, dapatlah bercerita dengan rakan-rakan keesokan hari.
Jika tidak, maka hanya dapat mendengar rakan-rakan bercerita.
Paling sedih apabila melihat rakan-rakan lain dapat pergi ke stadium.
Saya pula tidak! Macam-macam cerita mereka.
“Kami dapat jumpa ramai atlet Malaysia,” kata seorang rakan.
Rakan lain pula menyambung, “Aku pergi bersama-sama bapa aku.”
Apa-apa pun, kami yang tiada pengangkutan hanya mampu mendiamkan diri mendengar mereka bercerita.
Televisyen sumber untuk kami mendapatkan maklumat tentang Sukma 1990 di Sarawak.
Saya masih ingat dengan nama Tania Bugo yang begitu cemerlang dalam Sukma 1990 di Sarawak dalam sukan renang.
Saya masih ingat lagi dengan siaran langsung penutupan Sukma 1990 pada sebelah malam oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad di Stadium Negeri.
Saya lihat di televisyen Stadium Negeri penuh dengan penonton.
Teringin hendak bersama-sama penonton di stadium ketika itu.
Sukma 2024 Sarawak sekali lagi menjadi tuan rumah Sukma pada 2016, iaitu tujuh tahun lalu.
Komitmen kerja menyebabkan saya tidak dapat menyaksikan kehebatan atlet Malaysia merebut pingat emas ketika itu.
Dan, tahun depan, Sarawak sekali lagi diberi kepercayaan untuk menganjurkan Sukma kali ke-21.
Ketika negeri lain menolak, Sarawak bersedia untuk menjadi penganjur kejohanan kebangsaan itu.
Memetik media arus perdana, Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Hannah Yeoh ketika mengumumkan perkara itu Khamis lepas memaklumkan, pemilihan Sarawak adalah berpandukan persetujuan ahli untuk memperkenalkan sistem penggiliran tuan rumah secara berselang-seli setiap dua tahun antara Majlis Sukan Negara dengan negeri-negeri.
Yang pasti, pemilihan Sarawak adalah bukti keyakinan Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Belia dan Sukan Malaysia terhadap keupayaan penganjuran kejohanan sukan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa di Bumi Kenyalang.
Dalam tempoh setahun dari sekarang, yang pasti Sarawak akan menerima banyak manfaat dalam banyak aspek.
Pertama dari segi fasiliti sukan.
Seperti selalu, mana-mana negeri atau negara yang diumum sebagai tuan rumah kejohananan utama, pasti fasiliti sukan akan menjadi tumpuan.
Ini peluang terbaik untuk menaik taraf fasiliti sukan sedia ada di Sarawak, terutama di lokasi yang dijadikan pusat pertandingan.
Ataupun, mungkin sempat untuk membina fasiliti sukan baharu, yang bukan sahaja untuk kejohanan itu, tetapi akan digunakan untuk jangka panjang.
Kerajaan Sarawak diyakini akan melabur berjuta-juta ringgit untuk memastikan fasiliti sukan untuk Sukma 2024 dalam keadaan baik, bagi memastikan Sukma 2024 akan menjadi penganjuran terbaik dalam sejarah sukan itu.
Seperti kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, “Insya-Allah kita akan berusaha menjadikan Sukma penganjuran yang terbaik dan jadi penganjur terbaik.”
Jumaat lepas, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan, Kerajaan Sarawak akan menaik taraf serta melengkapkan semua kemudahan dan fasiliti yang diperlukan untuk penganjuran Sukma 2024 secepat mungkin.
“Beliau (Abdul Karim) akan berbincang mengenai kemudahankemudahan lain khususnya velodrom kerana kita belum mempunyai fasiliti tersebut yang kemungkinan besar akan dibina berhampiran Kompleks Stadium Sarawak.
“Fasiliti itu hendaklah dibina secepat mungkin, manakala kemudahan lain yang sudah ada, kita hanya akan menaik taraf,” katanya.
Pelancongan sukan Sukma 2024 juga akan meningkatkan jumlah kemasukan pelancong dari Semenanjung, Sabah dan Labuan.
Pasti ramai ingin menyaksikan ahli keluarga bertanding di Sarawak pada tahun depan.
Ini akan membantu sektor pelancongan (hotel, lokasi menarik), industri makanan (kedai makan, restoran) serta pengangkutan negeri ini menambah untung.
Walaupun kos penganjuran berjuta-juta ringgit, pulangan sektor pelancongan juga diyakini akan bertambah.
Cuma diharapkan kerajaan dapat memastikan kadar tambang penerbangan ke wilayah Sarawak rendah, dengan kata lain tiket mampu dibeli.
Diharapkan juga Kerajaan Sarawak menyediakan banyak pengangkutan percuma ke lokasi pertandingan, yang akan memudahkan orang ramai hadir untuk memberikan sokongan kepada semua atlet Sukma 2024.
Ini kerana tidak semua orang mempunyai pengangkutan untuk ke stadium walaupun hari ini sudah banyak kenderaan di jalan raya.
Jangan biarkan kanak-kanak, remaja dan belia hari ini merasai pengalaman kami 33 tahun lalu — ingin ke stadium tetapi tiada pengangkutan.
Lagipun, pengangkutan percuma akan membantu mengelakkan kesesakan jalan raya menuju ke lokasi kejohanan Sukma 2024 kelak.