ARTIKEL

Foto: BERNAMA

Untung bersih separuh pertama RHB Bank naik kepada RM1.57 bilion

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: RHB Bank Bhd mencatatkan peningkatan 29.5 peratus dalam keuntungan bersihnya kepada RM1.57 bilion bagi separuh pertama 2023 (1H 2023) berakhir 30 Jun, 2023 daripada RM1.21 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas. 

Hasil meningkat kepada RM7.97 bilion pada tempoh itu berbanding RM5.76 bilion sebelumnya.

Bagi suku kedua 2023 (2Q 2023), keuntungan bersih RHB meningkat kepada RM808.70 juta daripada RM630.07 juta setahun lalu, manakala hasil meningkat kepada RM4.05 bilion daripada RM2.95 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, RHB berkata prestasi yang lebih baik untuk 1H 2023 disebabkan terutamanya oleh pendapatan bukan berasaskan dana yang lebih tinggi dan jangkaan kerugian kredit (ECL) yang lebih rendah. 

Bagaimanapun, RHB menyatakan pendapatan berasaskan dana bersihnya adalah lebih rendah sebanyak 10.4 peratus kepada RM2.72 bilion berikutan kos pendanaan yang lebih tinggi, terutamanya disebabkan pertumbuhan simpanan tetap sebanyak 16.4 peratus tahun ke tahun (y-o-y) dengan margin faedah bersih (NIM) pada 1.82 peratus bagi suku tersebut.

Baca lain  Bekalan telur ayam di Mukah cukup, tidak perlu pembelian panik

Bank itu juga memberitahu perbelanjaan operasinya meningkat 6.5 peratus pada H1 2023 kepada RM1.80 bilion, sebahagiannya disebabkan oleh kos kakitangan yang lebih tinggi daripada pelarasan perjanjian kolektif dan selaras dengan itu, nisbah kos kepada pendapatan meningkat kepada 47.5 peratus berbanding 44.9 peratus pada tahun lalu.

Melangkah ke hadapan, RHB berkata Malaysia dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan ekonominya sepanjang baki tahun ini, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan.

“Ini disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang teguh di sebalik keadaan pasaran buruh yang sihat, pemulihan aktiviti berkaitan pelancongan, dan kemajuan berterusan projek-projek infrastruktur.

“Bagaimanapun, prospek pertumbuhan masih tertakluk kepada risiko penurunan, terutamanya daripada peningkatan dalam ketegangan geopolitik, tekanan inflasi dan pengembangan ekonomi yang lebih perlahan dalam ekonomi-ekonomi utama,” tambahnya.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mohd Rashid Mohamad berkata kumpulan terus memberikan prestasi kewangan yang mampan untuk 1H 2023 walaupun dalam persekitaran ekonomi dan perniagaan yang mencabar.

“Asas-asas kami kekal kukuh, dan kami akan terus kekal fokus pada strategi korporat Together We Progress 2024 (TWP24), yang kini dalam tahun kedua pelaksanaannya.

Baca lain  Projek tenaga boleh baharu berdasarkan aturan komersial

“Kumpulan akan terus melaksanakan pengurusan kewangan yang berhemat dan disiplin kos, serta mempercepatkan usahanya dalam menguruskan kualiti aset bagi mengekalkan daya tahan dan meningkatkan kecemerlangan operasi.

“Sebagai menghargai sokongan dan kesetiaan yang telah diberikan oleh pemegang saham kami,  kami berbesar hati untuk mengisytiharkan dividen interim sebanyak 15 sen sesaham, mewakili nisbah pembayaran sebanyak 40.9 peratus,” tambahnya. – BERNAMA

BERITA LAIN

GIATMARA Spaoh terima pelajar pertama Januari 2025

KUCHING: Pusat GIATMARA di Spaoh bakal menerima kemasukan pelajar pertamanya menjelang Januari 2025, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas. Menurutnya, pengambilan ini

BERITA TERBARU