KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan sepenuhnya mulai tahun ini manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan untuk tahun ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata keputusan memansuhkan UPSR di buat hasil libat urus dengan pelbagai pihak sejak peperiksaan itu dibatalkan tahun lalu akibat Covid-19.
“Sejak pembatalan UPSR tahun lalu, kementerian membuat penelitian mengenai kaedah pentaksiran, kita juga melihat apa kaedah terbaik dilaksanakan di negara lain, di peringkat sekolah rendah.
Kemudian kita meneruskan dengan libat urus bersama-sama guru besar, guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta persatuan berkaitan.
“Hasilnya, kita mengambil keputusan bahawa UPSR dimansuhkan sepenuhnya mulai tahun ini,” katanya pada sidang media khas semalam. Radzi berkata, susulan pemansuhan UPSR, pihaknya akan memperkasakan pentaksiran berasaskan sekolah selain Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi murid yang berhasrat memasuki sekolah berasrama penuh dan sebagainya.
Ditanya apakah input yang diperoleh menerusi libat urus sehingga kementerian membuat keputusan memansuhkan UPSR, Radzi berkata, antara maklum balas yang diterima ialah guru terpaksa memberi tumpuan yang lebih kepada subjek UPSR sehingga mengekang kreativiti guru dalam pengajaran.
….Untuk berita selanjutnya dapatkan naskhah Suara Sarawak 29 Apr 2021