Urus masa guna gajet

BERMAIN dengan gajet sememangnya mengasyikkan dan leka sehingga tidak sedar masa berlalu begitu cepat.

Pagi berganti tengah hari, petang sehingga malam.

Tanpa disedari masa pada akhir zaman berlalu begitu pantas.

Akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mundar-mandir di dalam rumah dengan gajet sentiasa dalam genggaman.

Masa berlebihan dengan gajet bukan sahaja tidak baik bagi orang dewasa, apatah lagi bagi generasi muda yang masih bersekolah.

Para pelajar yang tidak boleh ke sekolah menyambung pelajaran dengan program pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) di rumah.

Suku ketiga tahun lalu, Statista melaporkan sejumlah 9.17 jam sehari dihabiskan untuk melayari Internet rakyat negara ini. Sejumlah 3.01 jam lagi digunakan untuk melayari media sosial, 2.55 jam untuk menonton televisyen, 1.35 jam mendengar muzik, 1.03 jam bermain permainan dan 0.32 jam mendengar podcasts.

Kajian dalam kalangan pengguna Internet berumur antara 16 sehingga 64 tahun Statista ini menunjukkan rakyat negara ini melayari Internet dengan menggunakan telefon pintar.

Kajian ini menunjukkan 98.7 peratus responden memiliki telefon pintar.

Kadar pemilikan telefon pintar yang tinggi ini sejajar dengan pertumbuhan rangkaian jalur lebar 4G di negara ini.

Di United Kingdom, akhbar Independent melaporkan kajian dalam kalangan 2000 orang di Britain menunjukkan sejumlah 4,866 jam setahun dihabiskan dengan gajet seperti telefon, laptop dan televisyen.

Sekiranya umur purata rakyatnya ialah 62 tahun, sejumlah 301,733 jam dihabiskan dengan bergajet.

Sejumlah 64 peratus responden Britain dalam kajian itu mengakui bahawa mereka tidak tahu apa yang hendak dibuat sekiranya tidak bermain dengan gajet semasa perintah PKP bagi membendung gejala virus korona.

Menggunakan gajet tidak salah, sekiranya kita menggunakannya untuk bekerja atau belajar.

Yang membimbangkan ialah kebanyakan responden Britain dalam kajian itu mengakui bahawa separuh daripada masa yang digunakan dengan gajet adalah tidak produktif.

Masa yang terlepas tidak akan kembali lagi.

Dari dahulu lagi, kita sering diingatkan supaya tidak membazir waktu.

Sudah menjadi klise bahawa masa itu emas.

Namun hakikat ini seolah-olah dilupakan apabila masa tidak digunakan secara produktif dengan gajet.

Mengurus masa tidak pernah diajar di sekolah, mahupun di universiti.

Namun banyak buku telah diterbitkan dan dapat dibaca untuk mendedahkan kaedah terbaik menguruskan masa.

Terdapat aplikasi dalam telefon pintar yang boleh digunakan untuk membantu kita mengurus masa.

Secara mudahnya, mengurus masa ialah proses menyusun dan merancang yang dilakukan seseorang untuk memperuntukkan masa dengan aktiviti-aktiviti khusus.

Maknanya, dalam sehari setiap orang mempunyai 24 jam.

Kita harus tahu memanfaatkan masa yang dianugerahkan.

Dalam sehari, kita juga tidur, makan, mandi serta menguruskan kesihatan dan kebersihan diri.

Orang dewasa memerlukan masa 7 sehingga 8.6 jam sehari untuk tidur. Kanak-kanak memerlukan masa sekurang-kurangnya 10 jam sehari.

Sepanjang hayat seseorang, secara purata, sejumlah 26 tahun dihabiskan untuk tidur.

Purata masa dihabiskan untuk makan pula 4.5 tahun.

Tidur selepas belajar sebenarnya bermanfaat.

Kajian Monika Schonauer, Derk-Jan Dijk dan Russell Foster (2016) menunjukkan masa tidur selepas belajar dapat mengukuhkan ingatan bagi jangka panjang.

Adakah terdapat manfaat tidur selepas bermain gajet?

Semasa kita tidur, otak terus bekerja membuang toksin di dalam badan.

Semua ini menunjukkan bahawa kita harus bijak mengurus masa untuk bermain, bekerja, tidur dan berinteraksi dengan keluarga serta sahabat handai.

Mengurus masa memerlukan kita menyenaraikan aktiviti-aktiviti penting yang perlu diselesaikan.

Semua aktiviti ditentukan keutamaan, yang mana perlu disegerakan, didahulukan.

Semasa melakukan aktiviti penting kita dituntut memusatkan sepenuh perhatian.

Masa diperuntukkan mengikut keperluan dan jangan terlajak.

Terlajak masa menjadi petanda bahawa kerja bertangguh-tangguh.

Yang tersirat dalam menguruskan keutamaan ialah peranan kita sebagai pengampang.

Ahli psikologi Jerman, Kurt Lewin (1890-1947) menjelaskan keutamaan dalam kehidupan kita dikaitkan dengan persepsi kendiri tentang maklumat yang dikutip dari dunia fizikal dan mental.

Konsep ini dikembangkan DM White (1950) dalam teori pengampang, dengan meletakkan keutamaan daripada timbunan maklumat yang diterima demi mengekalkan kesihatan mental.

Keutamaan ditentukan berdasarkan nilai, dasar dan objektif peribadi setiap individu yang menuntut tingkah laku sesuai semasa melakukan pelbagai aktiviti, lebih-lebih lagi apabila menggunakan gajet.

Menggunakan gajet untuk melaksanakan tugas, kita sebenarnya yang berkuasa dan bukannya alat.

Walaupun gajet saperti komputer dan telefon pintar mempunyai pelbagai fungsi tetapi objektif penggunaannya adalah untuk menyelesaikan sesuatu tugas.

Ibu bapa yang melihat anakanak leka dengan gajet perlu menunjukkan teladan, cara terbaik menggunakan gajet.

Jangan jadi seperti ibu ketam menyuruh anaknya berjalan lurus, sedangkan ibu bapa saban hari leka dengan gajet.

Tegur mereka apabila didapati berinteraksi berlebihan dalam media sosial.

Saya yakin ibu bapa yang mempunyai anak-anak bersekolah ataupun menuntut di universiti akan memastikan mereka menyiapkan tugasan terlebih dahulu mengikut keutamaan.

Peka dengan apa yang dilakukan dengan gajet dan dengan siapa mereka berinteraksi dengan gajet, lebih-lebih lagi semasa PKP ini.

Masa berlebihan di rumah semasa PKP boleh diuntukkan kepada pelbagai aktiviti dan bukan semuanya memerlukan penggunaan gajet.

Kita untukkan masa berkualiti bermain, bersenam, berinteraksi dengan anggota keluarga lain tanpa gajet.

Mengurus masa bukan asing dalam Islam.

Bukankah Rasulullah SAW bersabda tentang pentingnya menjaga lima perkara sebelum datang lima perkara lainnya.

Mudamu sebelum masa tuamu, sihatmu sebelum sakitmu, kayamu sebelum miskinmu, waktu luangmu sebelum sibukmu dan hidupmu sebelum matimu.

Dr Mus Chairil Samani ialah penganalisis media dan perunding penerbitan.

Suara Sarawak