Urusan tanpa tunai di semua sektor perkhidmatan kerajaan mulai 2022

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MoF), menerusi inisiatif MyDIGITAL memastikan pembayaran bagi semua perkhidmatan kerajaan akan dibuat secara tanpa tunai menjelang 2022, kata menteri berkenaan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (gambar).

Beliau berkata ini mendorong keselamatan transaksi lebih tinggi, penyelarasan lebih baik, komunikasi mengenai usaha antirasuah dipertingkatkan serta perkongsian maklumat lebih mudah.

“Setakat akhir tahun lepas, 60 peratus daripada kutipan bayaran keseluruhan kerajaan adalah menerusi e-pembayaran,” katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Institut Akauntan Malaysia (MIA) 2021 yang dianjurkan secara maya pada Selasa.

MyDIGITAL menggariskan rancangan untuk mempercepat pencapaian Malaysia sebagai negara ekonomi maju dari segi teknologi, melalui Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

MyDIGITAL adalah satu inisiatif negara yang melambangkan aspirasi kerajaan untuk mentransformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang berpacukan teknologi dan pendigitalan, serta sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital.

Suara Sarawak