Usah politikkan isu Petronas

TERDAPAT dua isu yang terus dibincangkan melibatkan hubungan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak – isu Petronas dan pendidikan.

Berkaitan cukai lima peratus, Petronas terus didesak menghormati undang-undang Cukai Jualan Sarawak. Di negara luar seperti Kanada dan Brazil, Petronas dilihat dapat mematuhi undang-undang negara berkaitan, justeru, secara logiknya syarikat cari gali itu tentu tiada masalah menghormati cukai jualan yang dikenakan Kerajaan Sarawak.

Benar seperti dikatakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Petronas wajar menghormati Sarawak dengan mematuhi undang-undangnya.

Kewajaran Petronas berbuat demikian sama wajarnya dengan syarikat petroleum asing lain yang beroperasi di Sarawak seperti Shell, Murphy dan PT Pertamina.

Syarikat minyak lain tiada masalah patuh serta mengikuti ketetapan diputuskan Kerajaan Negeri, sebaliknya, tindakan Petronas dilihat seperti mencabar hak Sarawak yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Negeri.

Mengenakan cukai jualan ke atas barangan tertentu di Sarawak bukan isu baharu. Sebelum ini Sarawak mengenakan levi cukai jualan minyak sawit mentah, minyak bijirin dan minyak mentah sejak 1998 selepas Dun meluluskan Ordinan Cukai Jualan Negeri dalam melaksanakan Perkara 95B (3) Perlembagaan Persekutuan.

Wajar Petronas mematuhi pembayaran cukai jualan ini ketika mereka meraih ratusan bilion ringgit dari sumber bumi negeri ini.

Dilihat dari kaca mata Persekutuan, Petronas seperti mempertahankan tindakan mereka buat masa ini dan bersikap “tunggu dan lihat” apakah yang Sarawak boleh lakukan terhadap mereka.

Begitu pula dengan isu pendidikan, Persekutuan bermain “tarik tali” perihal kepeduliannya dengan isu pendidikan di Sarawak yang menjadi tanggungjawab Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia.

Selain isu panjang berkaitan sekolah daif, kini wujud pula larangan wakil rakyat GPS menghadiri acara sekolah di Sarawak yang dikatakan diterima pihak Jabatan Pendidikan Sarawak melalui media sosial.

Walaupun bukan arahan melalui pekeliling, namun laporan media mengesahkan keputusan terbabit dibuat oleh Kabinet Persekutuan.

Justeru, berkaitan hal ini, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Datuk Sri Michael Manyin Jawong merayu Putrajaya menggugurkan arahan ini.

Perlu disedari, tidak semua tindakan ahli politik terhadap sekolah khususnya yang berada di bawah kawasan wakil rakyat masing-masing bermotif politik.

Terdapat banyak aktiviti melibatkan Adun di sesuatu kawasan bertujuan kebajikan dan sebagainya seperti menyumbang dana untuk membantu sesebuah sekolah di Sarawak.

Barangkali DAP masih ingat halangan terdahulu melarang mereka melawat sekolah, tetapi arahan tersebut datangnya daripada kerajaan lama Persekutuan dan tidak berkaitan Kementerian Pendidikan Sains dan Teknologi Penyelidikan Sarawak yang hanya dibentuk Mei 2017.

Dalam hal ini, tidak perlulah elemen pendidikan menjadi mangsa hanya kerana permainan politik atau sikap “berbalas dendam” politik yang cetek