Usah ragu kesetiaan kami

KUCHING: Janganlah berasa ragu dan curiga dengan kehadiran Perikatan Nasional (PN) di Sarawak, kata Pengerusi Badan Perhubungan PN Sarawak Senator Jaziri Alkaf A. Suffian.

Beliau yakin kerjasama baharu yang lebih erat antara Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan PN mampu memacu Malaysia termasuk Sarawak ke arah yang lebih makmur.

“Percayalah, kami akan menyokong kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan sedaya upaya membantu GPS demi kelangsungan rakyat negeri ini.

“Sejajar kenyataan Perdana Menteri pada majlis perjumpaan pemimpin bersama masyarakat di sini pada Jumaat, kehadiran PN Sarawak untuk membantu dan bekerjasama dengan GPS,” katanya kepada Suara Sarawak pada Sabtu.

Menurutnya, adanya sokongan padu GPS, kestabilan politik dan pentadbiran negeri ini akan dapat dikekalkan dengan lancar terutamanya dalam menghadapi krisis pandemik Covid-19.

“Saya juga percaya kerjasama ini mampu membawa kemakmuran serta mengagihkan hasilnya secara saksama. “Oleh itu, saya yakin Kerajaan Sarawak akan dapat terus berkhidmat dengan lebih baik terutamanya meningkatkan taraf hidup rakyat serta menjamin kehidupan yang lebih aman, makmur dan sejahtera,” ujarnya.

Tambahnya, lawatan kerja dua hari Perdana Menteri ke Sarawak amat bermakna sekali gus membuka ruang merapatkan hubungan dan kerjasama antara GPS dengan PN.

“Terima kasih juga kepada kerajaan negeri yang menyatakan sokongan kepada Kerajaan PN,” tambahnya.  Perdana Menteri dalam ucapannya ketika mengunjungi Sarawak pada Jumaat memberi jaminan parti komponen PN di negeri ini akan terus memberi sokongan dan bantuan yang diperlukan kepada GPS.

Menurutnya, PN dan GPS merupakan kerajaan yang memerintah serta mempunyai hala tuju sama seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) untuk membangunkan negeri ini dan Malaysia demi kesejahteraan rakyat.

“Justeru, jangan diragui kesetiaan PN Sarawak terhadap GPS kerana kita di sini untuk memberikan sokongan padu dan bantuan yang diperlukan.

“GPS merupakan sahabat kita, jadi tidak kira sama ada anda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Parti Islam SeMalaysia (Pas), berilah sokongan kepada GPS.

“GPS merupakan sebuah kerajaan stabil serta komited membangunkan Sarawak terutama dalam usaha menjadikan negeri maju menjelang 2030,” katanya.

Suara Sarawak