ARTIKEL

Abang Johari menyampaikan ucapan penggulungan pada hari terakhir Persidangan DUN, hari ini. - Foto: Ghazali Bujang

Usaha dapatkan hak Sarawak di bawah MA63 terus diutamakan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Usaha untuk mendapatkan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kekal sebagai keutamaan.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pentadbirannya sedang giat meneruskan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan dan telah mencapai kemajuan serta pencapaian baru-baru ini.

“Antaranya ialah, kesihatan dan pendidikan.

“Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pembinaan segera Pusat Kanser Sarawak dan bersetuju agar Kerajaan Sarawak menggunakan dana sendiri dahulu, dengan bayaran balik sepenuhnya daripada Kerajaan Persekutuan.

“Pengurusan seperti ini juga digunakan untuk kita menyegerakan pembangunan sekolah dan klinik usang, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada hari terakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Sehubungan itu, Jabatan Pendidikan Sarawak juga telah diberi kuasa untuk meluluskan projek pelaksanaan yang dibiayai secara langsung oleh Kerajaan Sarawak.

Jelasnya, perwakilan kuasa ini bertujuan untuk memperkemas proses birokrasi pelaksanaan projek pendidikan di Sarawak.

“Seterusnya ialah Lembaga Pelabuhan Bintulu.

“Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak telah ditandatangani pada Mac 2024 bagi memudahkan proses penukaran status Pelabuhan Bintulu kepada Pelabuhan Negeri.

“Keseluruhan proses penyerahan ini dijangka akan selesai pada penghujung tahun ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Persekutuan atas kerjasama dan sokongan mereka.

Tambahnya, beliau yakin perkara yang belum selesai di bawah MA63 akan mendapat pengesahan dan penyelesaian daripada Kerajaan Persekutuan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU