KUCHING: Jabatan Kesihatan Sarawak (JKM) sedang mendapatkan bekalan ubat bius pergigian menerusi pembaharuan kontrak pembekal berpusat negara bagi menampung kekurangan bekalan tersebut di setiap klinik pergigian.
Pengarahnya, Dr Ooi Choo Huck berkata, usaha terbabit kini sedang giat dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Program Kesihatan Pergigian.
Menurutnya, setakat ini bekalan baharu ubat anestetik setempat itu diterima di Malaysia dan sedia untuk diedarkan ke fasiliti KKM di seluruh Malaysia dalam masa terdekat.
“JKM Sarawak telah membuat pembelian stok ubat anestetik setempat dengan jumlah besar untuk diagihkan ke klinik pergigian yang memerlukan di Sarawak.
“Sebahagian bekalan itu telah diterima dan diedarkan untuk kegunaan klinik-klinik pergigian di Kuching,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan pihaknya mengambil maklum masalah bekalan tersebut dengan mengambil maklumat pesakit terlibat untuk dihubungi semula bagi menerima rawatan sebaik bekalan ubat tiba.
Dedahnya, masalah bekalan tersebut bukan sahaja berlaku di Kuching namun seluruh Sarawak dan negara akibat ketiadaan stok bekalan dari pembekal berpusat negara sejak tahun 2022.