SADONG JAYA: Usaha Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) menerusi kerjasama Saberkas Cawangan Sadong Jaya dan Pusat Khidmat N.24 Sadong Jaya menganjurkan Program Hari Cuci Malaysia di pekan warisan Sadong Jaya baru-baru ini cukup signifikan.
Program ini tidak hanya dilihat sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dalam menjaga kebersihan serta kelestarian alam sekitar.
Sebaliknya, usaha ke arah itu secara tidak langsung dapat membentuk rasa tanggungjawab komuniti untuk mempraktikkan amalan menjaga kebersihan yang mencakupi pelbagai aspek.
Syarikat Timuran Kembangan Sdn. Bhd. antara pihak yang turut terlibat menjayakan program berkenaan.
Pengarah Urusan, Datuk Johnny Ting Su King mengakui teruja apabila diberi peluang menjayakan program berkenaan dalam keadaan yang luar biasa dengan pembabitan bersama komuniti di Daerah Kecil Sadong Jaya.
“Pihak kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada jawatankuasa pengelola program berkenaan kerana memberi kesempatan kepada Timuran Kembangan Sdn. Bhd. untuk terlibat sama,” ujar Johnny kepada Suara Sarawak.
Apa yang membanggakan, kata Johnny, adalah kerjasama semua pihak yang terlibat menyertai program itu, terutama dalam membersihkan kawasan sekitar.
Di samping itu, mereka turut mengumpulkan barangan yang boleh dikitar semula.
“Barangan yang dikumpulkan kemudiannya dihantar kepada pihak kami (Timuran Kembangan Sdn. Bhd.) untuk dikitar semula,” tambah Johnny.




