Trending

Usaha Sarawak wujudkan sistem bekalan air bersepadu 

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel
JULAIHI menyampaikan cenderahati kepada Simone McGurk semasa lawatan kerja rasmi ke Perth, hari ini

PERTH: Sarawak menimba pengalaman daripada Australia Barat untuk mewujudkan sistem bekalan air bersepadu dan pengurusan sumber selari usaha penstrukturan semula sektor bekalan air di negeri ini.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, dalam lawatan penanda aras itu Sarawak sedang menilai kebolehgunaan dan kesesuaian model industri air di Australia Barat.

“Lawatan penanda aras ini bertujuan ke arah pembangunan sistem bekalan air bersepadu dan pengurusan sumber air di Sarawak.

“Dengan memperoleh pengetahuan dan pengalaman Australia Barat, kita berharap dapat mewujudkan sistem yang boleh dipercayai, ekonomi mampan yang mampu meningkatkan kesejahteraan sosial rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, usaha tersebut selaras dengan inisiatif di bawah Pelan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 Kerajaan Sarawak.

Tambah Julaihi, lawatan penanda aras itu akan memberi peluang kepada para delegasi menilai kebolehgunaan dan kesesuaian model industri air Australia Barat.

“Seperti sedia maklum, Sarawak dalam usaha penstrukturan semula sektor bekalan air, untuk mewujudkan entiti bekalan air tunggal Pihak Berkuasa Air Negeri,” tambahnya.

Semalam, Julaihi dan rombongan Kementerian Utiliti Telekomunikasi, agensi dan jabatan berkaitan dengan air Sarawak berkesempatan mengunjungi Menteri Belia, Air dan Latihan Australia Barat Simone McGurk, yang merupakan agenda pertama dalam siri lawatan kerja rasmi ke Perth.

Objektif lawatan yang bermula 20 hingga 26 September depan adalah untuk mengkaji struktur industri air termasuk rangka kerja perundangan dan kawal selia, tadbir urus, model perniagaan, struktur organisasi dan infrastruktur teknologi.

Rombongan selepas ini akan melawat Jabatan Peraturan Air dan Alam Sekitar (DWER), Pihak Berkuasa Peraturan Ekonomi (ERA), dan Perbadanan Air yang merupakan pengendali air utama di Australia Barat termasuk Loji Penyahgaraman Air Laut Selatan, Empangan Mundaring, Empangan Serpentine dan Loji Kitar Semula Air Termaju Beenyup.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi) Datuk Liwan Lagang, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Setiausaha Kewangan Sarawak Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar turut serta.

JULAIHI serta rombongan kelihatan berbincang sesuatu dengan Simone McGurk

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

7 December 2023

Berita Terbaru