Usahawan Sarawak digesa bersaing di peringkat global

DARO: “Pihak kementerian serta agensi kerajaan lain sentiasa meletakkan harapan besar kepada usahawan di Sarawak agar dapat bersaing maju dengan usahawan lain yang ada di luar sana,” jelas Menteri Muda Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembagunan Usahawan, Datuk Mohd. Naroden Majais.

Sehubungan itu, melalui usaha pembangunan luar bandar oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, beliau telah meluluskan pembinaan hubungan jalan dengan bagi pembinaan jambatan Batang Lassa yang dilihat dapat memberi peluang kepada usahawan luar bandar memasarkan produk mereka keluar.

“Contohnya ikan terubok Daro yang sangat popular boleh diketengahkan lagi sebagai produk hiliran kerana keistimewaan yang tidak boleh didapati di kawasan lain.

“Ini ditambah dengan kemajuan teknologi dan internet membuka cabaran dan peluang kepada usahawan untuk bersaing diperingkat dunia,” katanya dalam Program Roadshow Usahawan dan Seminar Juh! Halal 2020 di Dewan Kemas Daro pagi tadi.

Tambahnya pihak Kementerian telah menyediakan pelbagai kemudahan melalui agensi di bawahnya seperti SEDC bagi membantu usahawan di Sarawak dalam memajukan lagi perusahaan mereka contoh skim pinjaman Usahawan Kecil dan sederhana.

“Skim Terbaru yang akan dilancarkan yang ialah Skim Micro Credit bagi membantu usahawan kecil yang diberikan tanpa kadar faedah bagi pinjaman RM 10 ribu ke bawah,” katanya.

Adun Daro Safiee Ahmad turut memberitahu bidang usahawan mempunyai peluang besar untuk diperkembangkan selaras dengan dasar Ketua Menteri yang mengetengahkan Dasar Ekonomi Digital.

“Daerah Daro tidak ketinggalan membangun pesat bersama Daerah lain di Sarawak. Oleh itu penduduk Daro terutamanya usahawan di Daro hendaklah bersedia menghadapi pembangunan ini supaya boleh bersaing dengan usahawan lain.

“Kemajuan Digital memberi peluang yang luas kepada usahawan untuk memasarkan produk mereka, sehubungan itu produk yang dihasilkan mestilah berkualiti dan diiktiraf sebagai produk halal supaya mempunyai pasaran yang luas,”jelasnya lagi.

Beliau turut berharap kepada usahawan di kawasan Daro dapat mengambil peluang tersebut untuk memajukan lagi perniagaan mereka.

Turut hadir ialah Pengurus Besar Perbadanan Pembagunan Ekonomi Sarawak Abdul Hadi Abdul Kadir, Pegawai Daerah Daro Bujang Rahman Seli, dan Pemanca Lau Oi Phen.

Suara Sarawak