KUCHING: Seramai sepuluh usahawan Sarawak, terdiri daripada sembilan usahawan makanan dan minuman serta seorang usahawan kraf tangan dipilih untuk menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-19 2023.
Diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur baru-baru ini, pemilihan usahawan terbabit dibuat oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) dengan kerjasama Craun Research Sdn Bhd, Jabatan Pertanian Sarawak (DOA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC).
Antara produk yang diketengahkan adalah mi kolok segera, kopi Sarawak, coklat Sarawak, produk gula apong dan kraf tangan.
Penyertaan kali ini berjaya mencapai jualan melebihi RM670,000 (jualan kontrak dan langsung).
MIHAS 2023 merupakan ekspo tahunan yang menempatkan pemain industri halal tempatan dan antarabangsa dalam industri makanan, farmaseutikal, kesihatan, kewangan, fesyen, kosmetik dan penjagaan diri, teknologi hijau, teknologi digital dan pelancongan mesra Muslim.
Pada tahun ini, MIHAS dilaksanakan secara hybrid iaitu pameran fizikal dan virtual yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Program selama empat hari yang bermula 12 hingga 15 September itu disertai oleh lebih daripada 600 pempamer daripada 40 buah negara.