Usaikan wasiat arwah bapa

PERASAAN bercampur-baur, gembira dan sedih apabila bertemu semula dengan ibu saudara saya, Salmah Adik, kata Zamain Minggo, 43.

Beliau yang menangis ketika dihubungi Suara Sarawak berkata, dipertemukan semula dengan ibu saudaranya dan melengkapkan amanah arwah bapanya.

“Mak cik Salmah adik kepada arwah bapa saya. Sebelum ayah kami meninggal, arwah meninggalkan amanah untuk kami mencari adiknya,” katanya.

Tambahnya, pelbagai usaha telah dilakukan untuk mencari ibu saudaranya itu. “Ada orang kata mak cik di Miri, di Kuala Lumpur dan kami sekeluarga pun terbang ke lokasi yang diberitahu, namun usaha kami menemui jalan buntu.

“Sekiranya ayah kami masih hidup pastinya dia adalah insan yang amat gembira,” katanya sambil menangis.

Jelasnya, pihaknya sekeluarga tidak terlepas daripada kecaman masyarakat yang mempersoalkan niat mereka mencari ibu saudaranya selepas dua dekad itu. “Ramai yang bertanya, mengapa cari sekarang, mengapa tidak buat laporan polis?

“Netizen tidak faham keadaan kami dan kami amat terguris dengan komen netizen,” katanya. Katanya lagi, mereka sekeluarga tidak pernah menyangka mak ciknya itu berada di Sibu.

PILU… Ketibaan Salmah di Labuan disambut dengan suasana pilu oleh ahli keluarganya.

“Dalam apa jua keadaan, kami amat bersyukur kerana mak cik Salmah selamat dan dapat dijumpai semula,” katanya sambil menambah ibu saudaranya itu kini dirujuk ke Hospital Labuan.

“Oleh kerana kami tidak mempunyai keluarga di Sibu, kami terhutang budi dengan keluarga Mohammad Ruddy yang menjaga mak cik Salmah selama ini. “Ia merupakan jasa yang tidak akan kami lupakan,” ujarnya.

Katanya, selepas 8 Januari lalu, apabila hebahan media mengenai pencarian waris Salmah, akhirnya pencarian mereka selama ini membuahkan hasil.

“Apabila kami dipertemukan semula terasa suasana amat pilu ketika menyambut mak cik Salmah di Terminal Feri Antarabangsa Labuan pada Sabtu.

“Kegembiraan tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata apabila bertemu setelah lebih 20 tahun menghilang tanpa khabar berita.

“Ketibaan mak cik Salmah turut disambut oleh cucunya dan adik-beradik selain ditemani oleh satu-satunya anak beliau.

“Anakanya telah mengiringi perjalanan pulang setibanya dari Sarawak ke Sabah dan seterusnya menuju ke Labuan.

“Seterusnya, mak cik Salmah dibawa ke Hospital Labuan untuk membuat saringan kesihatan dan mendapatkan rawatan susulan keadaannya yang lemah,” ujarnya.

Suara Sarawak