SIMUNJAN: Amalan menjaga kebersihan mencakupi persekitaran serta juadah yang dijual di bazar Ramadan sering diperingatkan kepada peniaga.
Adun Simunjan Awla Dris memberitahu, perkara tersebut menjadi keutamaan bagi mengelak berlaku musibah yang tidak diingini.
“Kita sentiasa mengingatkan kepada peniaga yang terlibat di bazar Ramadan agar sentiasa mengutamakan kebersihan.
“Kita tidak mahu sikap sambil lewa terhadap perkara itu boleh menimbulkan kemudaratan kepada pelanggan yang datang membeli juadah kelak,” ujarnya ketika berucap ringkas pada Majlis Perasmian Bazar Ramadan Padang Sentral, Simunjan, semalam.
Menurut Awla, beliau percaya para peniaga terlibat mengetahui akan peranan dan tanggungjawab mereka dalam menjaga kebersihan.
Justeru, beliau amat gembira melihat persekitaran bazar berkenaan selain kemeriahan luar biasa yang berlaku sepanjang tempoh jualan.
Awla akui, adanya bazar Ramadan seperti inj menjadi tarikan kepada semua lapisan masyarakat untuk berkunjung ke Daerah Simunjan.
“Secara tidak langsung, ia berperanan sebagai wadah meningkatkan perpaduan dalam kalangan masyarakat khususnya di kawasan Simunjan,” jelas Awla lagi.
Terdahulu beliau turut mengucapkan syabas kepada Majlis Daerah Simunjan kerana telah berjaya menganjurkan bazar tersebut tahun ini.
Dalam pada itu, Awla turut menyerahkan set apron kepada para peniaga di bazar Ramadan terbabit.
Hadir sama Pegawai Daerah Simunjan merangkap Pengerusi Majlis Daerah Simunjan Seroji Ludin, Setiausaha Majlis Daerah Simunjan Mohd. Rizal Zakaria dan Ahli-Ahli Majlis Daerah Simunjan.