UTC Sibu kembali beroperasi

SIBU: Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Sibu beroperasi semula bermula semalam setelah menutup operasinya sejak 18 Mac lalu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clerance Ting Ing Horh berkata, atas pertimbangan serta permintaan ramai kerajaan negeri telah memutuskan untuk membuka semula perkhidmatan UTC Sibu.

“Ia dibuka mulai 15 Mei dari jam 8 pagi hingga jam 4 petang sahaja pada setiap hari (Isnin-Ahad).

“Bagaimanapun, kaunter yang dibuka hanya untuk perkhidmatan kaunter agensi kerajaan Sarawak sahaja,” katanya semasa dihubungi semalam.

Menurutnya, perkhidmatan kaunter tersebut adalah kaunter MPS, Sesco, Lembaga Air Sibu dan Pejabat Daerah.

Jelasnya, orang ramai boleh berurusan dengan agensi tersebut mengikut urusan keperluan masing-masing berkaitan agensi berkenaan.

“Bagaimanapun, kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ), Jabatan Imigressen, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Klinik Kesihatan UTC Sibu kekal ditutup,” ujarnya lagi.

Ing Horh memberitahu, pihaknya telah memastikan pelbagai langkah-langkah pencegahan telah dilakukan di UTC Sibu sebelum ini.

“Orang ramai harus mematuhi arahan yang ditetapkan oleh pegawai kami yang berada di lokasi tersebut ketika berurusan di situ.

“Apa yang penting sila pakai pelitup muka dan mematuhi penjarakan sosial,” tambahnya lagi.

Untuk pertanyaan lanjut, hubungi kaunter pertanyaan UTC Sibu di talian 084-313449.