KOTA SAMARAHAN: Tarikh 20 Disember 2025 pastinya menjadi hari yang penuh emosi bagi ahli kelab bola sepak, V-FOSS FC.
Kelab yang begitu digeruni penampilan di pentas bola sepak tempatan sejak penubuhannya lapan tahun lalu dibubar secara rasmi semalam.
Semalam berlangsung majlis pembumbaran rasmi kelab berkenaan yang diadakan di salah sebuah restoran di bandar ini.
Setiausaha V-FOSS FC, Abdul Muhtalip Tegak memberitahu, keputusan membubar kelab berkenaan disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan.
“Pihak kita ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan dan kerjasama diberikan sepanjang tempoh dalam kelab ini,” ujar Muhtalip ketika berucap ringkas pada majlis berkenaan.
Beliau akui, sumbangan barisan exco dan ahli kelab sedia ada dalam meningkatkan prestasi badan induk berkenaan selama lapan tahun cukup signifikan.
Dengan kata lain, pelaburan kudrat serta komitmen mereka berjaya memberi impak positif, malah turut menyaksikan pelbagai kejayaan yang diperoleh dalam kejohanan yang disertai.
“Banyak kejohanan pelbagai status disertai kelab ini (V-FOSS FC), bukan sahaja di seluruh Sarawak, malah melangkaui beberapa tempat di negara jiran.
Sementara itu, semalam turut berlangsung majlis perpindahan dan persaraan beberapa guru yang selama ini bersama-sama dalam kelab berkenaan.
“Harapan kita semoga individu yang selama ini pernah bersama V-FOSS FC akan terus berjaya tatkala mengharungi perjuangan dalam sukan bola sepak selepas ini,” tambah Muhtalip.





