KOTA SAMARAHAN: Meskipun sekadar berpuas hati selaku naib juara pada Kejohanan Futsal Remaja Bawah 14 Tahun 2023, kredibiliti skuad V-Foss AFT kini sudah boleh diangkat sebagai pasukan pencabar dalam kancah bola sepak lima sebelah ketika ini.
Himpunan pemain muda dalam pasukan yang semakin meningkat naik namanya itu mempunyai bakat yang dilihat mampu menyerlah dengan lebih jauh selepas ini.
Pada aksi final yang berlangsung di Stadium Tertutup Samarahan hujung minggu lalu, pasukan V-Foss AFT tewas (3-0) di tangan TWOFSS FT selaku juara musim ini.
Dalam pada itu, pasukan Teratak FC dan Rembus Mix FT yang tewas di peringkat separuh akhir menduduki tempat ketiga bersama.
Kesemua empat pasukan terbabit menerima hadiah piala, wang tunai dan jersi.
Pengerusi kejohanan, Abdul Muhtalip Tagak menegaskan, kejohanan tersebut dianjur Kelab Bola Sepak V-Foss FC bagi memeriahkan suasana sambutan Hari Malaysia 2023.
“Kejohanan ini dianjur yang bertujuan memeriahkan suasana sempena sambutan Hari Malaysia 2023.
“Ia cukup meriah dengan pembabitan pemain dari pelbagai pasukan yang turut serta,” ujar Muhtalip kepada Arena Suara Sarawak.
Terdahulu beliau mengucap terima kasih kepada semua pihak atas sokongan yang diberikan untuk penganjuran kejohanan itu.