Vaksin Covid-19: China-Sarawak perlu jalin lebih banyak kerjasama

KUCHING: Sarawak dan China perlu menjalin lebih banyak kerjasama mengenai vaksin Covid-19 dalam membantu negeri ini pulih daripada pandemik dengan pantas, kata Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching Cheng Guangzhong.

Menurutnya, China telah mengambil pendekatan proaktif dalam membangunkan vaksin Covid-19 serta menjadi antara negara pelopor di dunia dalam pengeluaran vaksin. “Kami komited dalam mempromosikan kerjasama vaksin antarabangsa serta sudah melaksanakan ribuan penyelidikan dan pembangunan vaksin Covid-19 termasuk kerjasama pengeluaran dengan banyak negara di dunia.

“Secara keseluruhan usaha ini berjaya menarik lebih 100,000 sukarelawan daripada 100 negara dan setakat ini sudah 17 vaksin Covid-19 China memasuki fasa ujian klinikal.

“Malah, lebih 60 negara termasuk Malaysia telah membenarkan penggunaan vaksin dari negara China kerana keberkesanan serta keselamatannya mendapat pengiktirafan di seluruh dunia,” katanya.

Cheng bersama-sama dua pegawai kanannya melakukan kunjungan hormat ke pejabat Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune pada Rabu.

Beliau disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Dr Jeniri Amir, Ketua Pegawai Operasi Sardon Zainal bersamasama kakitangan kanan editorial.

Tegas Cheng, vaksin merupakan senjata penting untuk memerangi wabak berkenaan dan membawa harapan baharu bagi menyelamatkan nyawa masyarakat dunia.

“Setakat ini, China sudah menghantar puluhan pasukan perubatan, mengeksport 250 bilion pelitup muka dan 2.5 bilion peralatan pelindung diri (PPE) sebagai tanda sokongan padu terhadap komuniti di seluruh dunia dalam usaha memerangai pandemik ini.

“Justeru, kita sentiasa bersedia untuk berbincang dengan negara-negara lain mengenai kemungkinan kerjasama serta protokol untuk saling mengiktiraf vaksinasi,” ujarnya.

Tambahnya, kerjasama dalam mengekang penularan Covid-19 antara Malaysia dan China termasuk Sarawak sepanjang tahun lalu amat baik. “Pada permulaan serangan wabak, Sarawak memberikan sejumlah besar sumbangan kepada China.

Seterusnya kami menyumbangkan pelbagai keperluan perubatan serta sentiasa mengutamakan permintaan dari negara ini. “Untuk rekod, Konsulat Republik Rakyat China di Kuching membantu Kerajaan Sarawak dalam memperoleh 106 tan keperluan seperti pelitup muka dan PPE dari China.

“Selain berkongsi pengalaman kami melawan wabak dengan membawa pasukan pakar perubatan China ke negara ini termasuk Sarawak serta sentiasa menyokong kerjasama antara masyarakat antarabangsa untuk memerangi wabak tersebut,” jelasnya.

Ujarnya, yang sudah tiga tahun berkhidmat di Kuching, peribahasa China dan Malaysia umpama – bukit sama didaki, lurah sama dituruni – terus terjalin antara dua negara ini dan akan dikembangkan demi manfaat bersama.

Suara Sarawak