Vaksin: NPRA tanya 300 soalan, pastikan vaksin selamat, berkualiti – Khairy

KUALA LUMPUR: Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), yang bertanggungjawab dalam kelulusan vaksin COVID-19 di negara ini, amat teliti dalam soal kualiti dan keselamatan sehingga ia disifatkan syarikat pembekal vaksin sebagai agensi paling ‘tegas’ dan ketat berbanding badan regulatori antarabangsa lain.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, berkata beliau sendiri selaku individu terbabit dalam rundingan dengan syarikat pengeluar vaksin, pernah didatangi mereka yang menyatakan perkara itu.

“Saya yang runding dengan syarikat ini, mereka datang balik kepada saya dan bagi tahu ‘your NPRA yang paling ketat, yang paling strict (tegas) dalam dunia’, dia (NPRA) tanya bukan satu dua soalan, yang Russia bagi tahu saya, dia (NPRA) tanya 300 soalan sekali, termasuk soalan teknikal,” katanya.

Khairy berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam perbincangan bertajuk Vaksin COVID-19: Ambil atau Tidak yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Menarik perhatian, Khairy yang juga Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, berkata NPRA adalah sebuah badan bebas yang tidak menerima arahan daripada orang politik, misalnya dalam isu mempercepatkan proses kelulusan vaksin.

Kata Khairy, ini kerana NPRA sangat mengutamakan keselamatan dan nyawa rakyat.

“NPRA tidak akan meluluskan dan membenarkan apa-apa produk perubatan farmasi masuk dalam negara kita selagi mereka tidak berpuas hati dengan dua perkara iaitu keberkesanan dan keselamatan. Jadi, terimalah apa saja vaksin diluluskan NPRA kerana ia selamat dan berkesan,” katanya.

Ahad lepas, Malaysia menerima vaksin COVID-19 yang pertama dari jenis Pfizer-BioNTech sebanyak 312,390 dos. Vaksin itu dibawa dari Singapura iaitu hab pengagihan vaksin COVID-19 ke negara Asia Pasifik.

Vaksin COVID-19 keluaran Sinovac pula dijangka diterbangkan dari Beijing, China hari ini. – BERNAMA

Suara Sarawak