Vaksin suntik pemulihan EKONOMI

PENEMUAN vaksin memberi nafas baharu buat ekonomi dunia.

Malah berita baik itu mampu mengembalikan ekonomi seluruh rakyat yang selama ini terjejas akibat penularan Covid-19.

Hakikat ekonomi negara dijangka menunjukkan perkembangan positif menjelang pertengahan tahun ini sejajar pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula pada hari ini.

Malaysia antara negara yang berusaha mendapatkan bekalan vaksin secepat mungkin.

Hasilnya, kerajaan berjaya membeli vaksin Pfizer-Biontech yang kemudian diberi secara percuma kepada hampir 80 peratus penduduk Malaysia.

Fasa pertama suntikan vaksin Covid-19 dilaksanakan bermula Jumaat ini (26 Februari) dengan petugas kesihatan, anggota barisan hadapan dan Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri menjadi antara kelompok awal.

Pemulihan Ekonomi Pakar ekonomi meramalkan Malaysia berupaya memulihkan ekonomi bermula suku ketiga tahun ini, bergantung kepada kelancaran pelaksanaan program vaksinasi berkenaan.

Ini sejajar ramalan yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi yang menjangkakan ekonomi negara pulih sekitar 4.5 hingga 5 peratus.

Sektor perkhidmatan merupakan antara sektor yang perlu diutamakan dalam pemberian vaksin melalui pelaksanaan program vaksinasi yang dijadual bermula pada hari ini.

Keutamaan perlu diberikan kepada penerima vaksin dari kalangan sektor perkhidmatan dan perkilangan untuk meningkatkan kadar pengeluaran.

Pelaksanaan program imunisasi di peringkat kebangsaan, sektor pelancongan dan eksport negara turut dapat digerakkan semula bagi membuka lebih peluang ekonomi kepada pemain industri.

Sektor pelancongan dan eksport negara ialah sektor yang banyak terkesan disebabkan penutupan sempadan negara sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Ahli Ekonomi bahagian Makroekonomi, Amalan Global Perdagangan dan Pelaburan Bank Dunia, Richard Record turut meramalkan ekonomi negara dijangka kembali mencatatkan pertumbuhan positif tahun ini bersama-sama ekonomi global lain susulan kemajuan pelancaran vaksin yang bakal meningkatkan semula penggunaan di seluruh dunia.

Kumpulan itu menjangka pemberian vaksin sebahagian besarnya dapat diselesaikan pada 2021 di kebanyakan negara, yang dijangka membawa kepada pemulihan ekonomi dan permintaan serta meningkatkan perdagangan dan harga komoditi.

Risiko kepada prospek pertumbuhan termasuk kelewatan pelancaran vaksin yang tidak dijangka, langkah pengekangan yang tidak efektif, peningkatan bilangan isi rumah rentan dan landskap politik tempatan yang tidak menentu.

Kekalkan Kestabilan Makroekonomi Kerajaan juga harus mengekalkan kestabilan makroekonomi yang bergerak pantas dan mengejutkan peserta pasaran.

Apabila mengekalkan makroekonomi, kerajaan dapat mengawal sepenuhnya ekonomi dan terus menyokong apabila ekonomi memerlukan.

Gabungan dasar skal dan monetari menjadi kunci bagi pertumbuhan ekonomi dan Bank Negara Malaysia masih ada banyak ruang untuk berbuat sesuatu dalam landskap monetari.

Dari segi keluaran dalam negara kasar (KDNK) pula, negara diunjurkan pertumbuhan antara 3.0 hingga 4.0 peratus dan menjangka bank pusat mengekalkan kadar dasar semalaman pada satu hingga 1.75 peratus pada 2021.

Sementara itu, Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Tinjauan Ekonomi Malaysia 2021 mengunjurkan perdagangan luar negara berkembang sebanyak 3.9 peratus dengan eksport barangan dijangka meningkat 2.7 peratus susulan pemulihan perdagangan dan rantaian bekalan global manakala import diunjur naik 5.3 peratus, disumbang oleh peningkatan pelbagai jenis import.

Mohd Uzir berkata, inflasi diunjur pada 2.5 peratus berbanding -1.13 peratus pada 2020, menandakan lonjakan kukuh perbelanjaan pengguna.

Apabila berbicara tentang tenaga buruh, beliau berkata ia diunjurkan kekal pada 1.1 peratus manakala kadar pengangguran diunjur menyusut kepada 3.5 peratus pada 2021 berbanding anggaran 4.5 peratus pada 2020, apabila ekonomi negara dijangka melantun semula pada 2021 selepas mencatatkan prestasi lemah pada 2020 disebabkan pandemik tersebut.

Dalam tempoh terdekat ini, dasar perlu menumpukan kepada membendung penularan dan melindungi golongan paling rentan ketika keadaan ekonomi bertambah baik.

Sesungguhnya ekonomi negara dijangka kembali semula pada 2021 selepas aliran deflasi apabila pandemik Covid-19 menjejaskan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan.

Suara Sarawak