Vaksinasi antirabies diteruskan

SIBU: Susulan dua korban terbaharu jangkitan rabies di negeri ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) akan meneruskan vaksinasi antirabies secara besar-besaran bagi mengekang penyebarannya.

Pengarahnya Dr Adrian Susin ketika dihubungi semalam berkata, sebanyak 67 kawasan berisiko rabies di negeri ini sudah dikenal pasti.

“Ia kekal sebanyak 67 kawasan dengan Sibu adalah antara salah satu kawasan panas rabies di negeri ini. “Pihak kita akan terus melakukan program vaksinasi berskala besar ke atas anjing-anjing di Sibu,” kata beliau.

Dalam hal ini, beliau menasihati semua pemilik anjing agar memvaksinasi anjing mereka bagi mencegah jangkitan rabies. “Kami masih melakukan program vaksinasi antirabies secara besar-besaran.

“Pemilik anjing juga boleh membawa anjing mereka ke mana-mana Pejabat Veterinar untuk mendapatkan vaksinasi rabies,” tegas beliau ketika ditanya mengenai jumlah kawasan yang dijangkiti rabies di negeri ini sehingga kini.

Beralih kepada mereka yang digigit anjing, Dr Adrian menasihati mereka segera pergi ke klinik dan memberitahu DVSS mengenai anjing terbabit.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataannya pada Sabtu) memaklumkan angka kematian akibat rabies di negeri ini meningkat kepada 31 orang setelah kes terbaharu dua lelaki meninggal dunia baru-baru ini masing-masing di Kuching dan Sibu.

“Kedua-duanya adalah kes positif rabies pertama yang melibatkan manusia di Malaysia pada tahun ini. “Jumlah terkumpul kes rabies di Sarawak sejak wabak rabies diisytiharkan di negeri itu pada 1 Julai 2017, kini berjumlah 33 kes dengan 31 kematian,” katanya.

Suara Sarawak