Vaksinasi petugas barisan hadapan di Kuching, Sibu bermula Jumaat

KUCHING: Sarawak akan memulakan vaksinasi Covid-19 untuk petugas barisan hadapan di Kuching dan Sibu pada Jumaat ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata fasa pertama vaksinasi ini menggunakan 23,400 dos vaksin jenis Pfizer-BioNTech, yang diperoleh daripada Kerajaan Persekutuan, hari ini.

“Terima kasih Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Persekutuan kerana memastikan bahagian vaksin yang diperlukan Sarawak akhirnya diperoleh hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan ketibaan kumpulan pertama vaksin Covid-19 bagi Sarawak di Gudang Raya Airway (DHL), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Jaul Samion dan Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Chin Zin Hing.

Menurut Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Kerajaan Sarawak merancang untuk memberi vaksin kepada seramai kira-kira 2.2 juta orang rakyat Sarawak.

“Kami berharap dapat menvaksinasi seluruh rakyat menjelang Ogos, ini sangat bercita-cita tinggi tetapi kita perlu memastikan ini dapat dicapai,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat Sarawak agar mendaftar untuk divaksinasi sama ada menerusi aplikasi MySejahtera, Pejabat Daerah dan Pejabat Residen.

Dalam pada itu, Uggah berkata Pejabat Residen dan JPBNS kini bekerja rapat dengan Jabatan Kesihatan untuk menyediakan logistik bagi memastikan rakyat di pedalaman turut mendapat vaksin.

Katanya Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg juga telah meluluskan sebanyak RM30 juta untuk menguruskan logistik bagi penghantaran vaksin di Sarawak.

Menjelas lanjut, beliau berkata penghantaran vaksin di seluruh negeri ini, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman akan menggunakan jalan darat.

Katanya penghantaran tidak dapat menggunakan udara kerana terdapat beberapa spesifikasi keperluan.

“Proses vaksinasi ini sangat rumit, ia memerlukan banyak perancangan, banyak tenaga kerja dan bahan.

“Kami berharap dengan pengalaman yang dimiliki JPBNS dalam menangani krisis, mereka akan dapat menghadapi cabaran,” katanya.

Suara Sarawak