Van dipenuhi rokok tanpa cukai dirampas di Bintulu

BINTULU: Sejumlah 587,440 batang rokok pelbagai jenis bernilai RM437,710.40 ditemui disembunyikan di dalam sebuah van berhampiran kawasan letak kereta, Jalan Pedada, di sini, hari ini.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Polis Marin Wilayah 5(PPMW5) Bintulu ASP Ezuandi Bahadin berkata, rokok itu ditemui hasil pemeriksaan Op Landai Covid-19 di lokasi sekitar jam 11.30 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan awal menemui beberapa karton rokok diletakkan di bawah alas kaki hadapan tempat duduk penumpang sebelah kiri.

“Seterusnya pasukan operasi menunggu selama dua jam di lokasi, namun tiada pemilik yang hadir menuntut barangan terbabit.

“Tindakan pemeriksaan lanjut iaitu dengan mengumpil bahagian pintu hadapan penumpang van menjumpai sejumlah 587,440 batang rokok pelbagai jenis,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dedahnya, kesemua rokok yang tidak mempunyai cukai kastam itu disyaki cuba dibawa keluar atau disembunyikan sementara, ekoran mendapat tahu operasi sedang dijalankan oleh polis.

Susulan itu katanya, kesemua rokok dan van telah dibawa ke balai polis pusat Bintulu dengan menggunakan trak penunda untuk diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu untuk tindakan lanjut.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

BANYAK… hasil rampasan rokok yang ditemui oleh PPMW5 ketika membuat Op Landai Covid-19

 

PERIKSA… pasukan operasi membuat pemeriksaan ke atas sebuah van yang disyaki membawa muatan rokok tanpa cukai

Suara Sarawak