Van dirempuh, sembilan pelajar SJK (C) Chung Hua Stapok cedera

KUCHING: Sembilan pelajar SJK (C) Chung Hua Stapok cedera dengan seorang daripada mereka patah tangan kiri selepas van dinaiki mereka dirempuh, dalam kemalangan yang dilaporkan berlaku sekitar jam 6.10 pagi di hadapan kilang Paragon, Batu Kawa dekat sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata kemalangan berpunca dari sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu seorang remaja lelaki berusia 19 tahun telah hilang kawalan lalu melanggar belakang van dinaiki kesemua mangsa, yang dipandu wanita berusia 62 tahun.

“Akibat perlamggaran tersebut, van terbabit telah melanggar pembahagi jalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar dua buah lagi kereta di laluan berkenaan, sebelum terbabas ke kanan jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexson berkata semua pelajar yang cedera itu dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan.

Beliau menambah pemandu kereta yang melanggar van berkenaan turut mengalami kecederaan ringan manakala pemandu van dan dua buah lagi kenderaan terlibat, tidak cedera.

Katanya kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Keadaan kemalangan yang membabitkan empat buah kenderaan di hadapan kilang Paragon, Batu Kawa dekat sini pagi tadi.