BERKONGSI juadah dengan jiran, sepanjang Ramadan menjadi amalan penduduk kampung mahupun di kawasan Perumahan suatu ketika dahulu.
Ia juga dikenali sebagai bertukar menu, walaupun mereka tidak mengharapkan balasan.
Biasanya kuih-muih tradisional, bubur atau makanan pembasuh mulut menjadi pilihan.
Namun ada juga yang berkongsi rezeki makanan berat, seperti kari kambing, ayam masak kurma, asam pedas ikan siakap mahupun pari bakar. Kebiasaannya sedekah dilakukan lewat petang, ketika waktu berbuka hampir tiba.
Kebanyakan jiran, terutama remaja dan kanak-kanak seronok, menunggu juadah daripada jiran, kerana biasanya ia tidak dijangka.
Lebih menyeronokkan jika ia adalah bubur durian atau kuih kegemaran ramai yang jarang didapati pada hari biasa.
Amalan ini, bukan sahaja mengukuhkan hubungan dengan jiran, rakan-rakan atau sanaksaudara, tetapi juga untuk bertukar resipi, terutama juadah tradisional berusia ratusan tahun yang diwarisi sejak turun-temurun.
Namun tradisi saling bersedekah ini semakin terhakis, walaupun masih ada yang mengamalkannya.
Kewujudan bazar Ramadan, pada era 80-an dan semakin banyak sekitar 90-an menyebabkan sebahagian besar masyarakat, terutama di kawasan bandar dan separa bandar memilih untuk ke bazar, kerana kebanyakannya kuihmuih tradisional yang menghiasi meja jualan.
Jadi tidak perlu lagi para suri rumah mengerah keringkat, di dapur sepanjang petang.
Sejak itu, tranfsormasi bazar Ramadan berterusan hingga kini. Sebut apa-apa sahaja yang anda mahu, daripada tradisional sehinggalah moden, ala kampung, ala Barat, ala Asia Barat, Timur Tengah, segalanya ada.
Bazar Ramadan kini sebagai “venue” (tempat) pemburu menu. Ratusan jenis makanan dan minuman, menunggu pelanggan pada 1 Ramadan hingga 27 Ramadan.
Biasanya tiga hari terakhir bazar Ramadan agak lengang, kerana kebanyakannya menuju bazar Aidilfitri.
Bazar Ramadan turut menjadi tumpuan masyarakat bukan Islam, untuk sama-sama menikmati ‘pesta makanan’ setahun sekali itu yang berlangsung hampir sebulan.
Oleh itu, Malaysia dilabel sebagai antara destinasi syurga makanan di dunia, selain dua negara serantau, Thailand dan Indonesia.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, bazar didefinisikan sebagai sekelompok kedai kecil, atau gerai tempat menjual berbagai barangan.
Di Malaysia terdapat dua bazar, iaitu bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri.
Namun di sebalik kerancakan bazar Ramadan, ada pelbagai kerenah pelanggan, sehingga menyukarkan pelanggan yang lain.
Bayangkan di tengah lautan manusia, ada pelanggan yang bergegas, mahu mendapatkan segera menu, mungkin mengejar masa, memastikan sampai di rumah sebelum waktu berbuka.
Namun ada pelanggan sibuk mengambil gambar dan berswafoto bersama menu, menyebabkan giliran menunggu semakin memanjang. Ia sudah menjadi kebiasaan setiap kali Ramadan.
“Saya sampai di rumah lima minit selepas masuknya waktu berbuka,” kata rakan saya, yang mengunjungi bazar pada 3 Ramadan lalu.
“Saya terpaksa menunggu giliran, ramai pelanggan yang mahukan menu yang sama.
Namun ia adalah sebahagian daripada cabaran pada bulan yang mulia ini, kita hanya perlu bersabar” katanya lagi.
Tidak sekadar itu, ada pelanggan yang terkejut, terbeli martabak hangus, menyebabkan hilang selera berbuka.
Malah ada juga menu yang sudah hampir basi. Yang pasti, ia juga sebahagian daripada cabaran Ramadan, kalau bukan rezeki yang baik untuk kita, ia tetap rezeki kita, kerana ia sudah pun tertulis.
Namun, seiring transformasi bazar Ramadan, maka penjual juga harus transformasi diri, memastikan menu yang dijual berada pada tahap tip top, dan harga yang munasabah, kerana ia juga sebahagian daripada sedekah.
Sedekah bukan sekadar memberi, tetapi juga menjual… apabila menyediakan produk terbaik yang memuaskan hati pelanggan, dari segi kualiti, kuantiti dan harga.
Misalnya harga sebungkus nasi kerabu yang sepatutnya RM12, dijual pada harga RM8… maka RM4 itu sedekah. Ia tidak nampak, tetapi cukup besar nilainya kepada pelanggan, lebihlebih lagi golongan B40.
Yang pasti, bulan Ramadan bukan hanya menahan lapar dan dahaga, tetapi juga perlu bijak memilih menu, bagi mengelak pembaziran.
Malah ia memerlukan perancangan sebelum turun ke bazar, belikan yang perlu sahaja.
Saya masih ingat pesan bekas rakan sekerja sekitar 10 tahun yang lalu.
Katanya jika hendak ke bazar, rancanglah pembelian, nak beli lauk apa, kuih apa atau air apa.
Misalnya nak beli terubok panggang, dan dua jenis kuih sahaja, tetapi biasanya ia boleh bertukar sekelip mata sebaik terbau aroma ayam percik.
Pesan rakan saya; “Kalau nak ke bazar, kunjungilah gerai yang dikunjungi ramai pengunjung… biasanya sesuatu menu yang enak akan dikerumuni ramai.
Kalau selera nak makan martabak atau roti canai, tak perlu ke bazar, kunjungi sahaja kedai mamak biasa.
Kualitinya pasti terjamin.”
Yang pasti, jika ada rezeki lebih, belilah sedikit kuih-muih di bazar untuk jiran tetangga, bagi menyemarakkan semula tradisi sedekah sebagaimana di kampung.
Sesungguhnya Ramadan adalah bulan bersedekah, walaupun sedikit, kerana ia mempunyai nilai ganjaran pahala yang sangat besar.
Apatah lagi jika kita berkongsi rezeki dengan golongan yang amat memerlukan.
Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari maksudnya: “Rasulullah SAW ialah orang yang paling dermawan.
Baginda lebih dermawan lagi pada bulan Ramadan. Kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus.” (Hadis Riwayat al-Bukhari).
Imam Muslim pula meriwayatkan sebuah hadis Qudsi yang bermaksud: “Setiap amalan manusia pada bulan Ramadan akan diganjarkan kebaikan sehingga 700 kali ganda.”
Dengan adanya 26 bazar Ramadan di sekitar Kuching dan Samarahan tahun ini, lebih mudah untuk kita mendapatkan menu berbuka, di samping untuk disedekahkan, bukan untuk dibuang begitu sahaja pada keesokannya.
Pastikan jangkaan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pemberishan Awam (SWCorp) bahawa lebih 75,000 tan makanan akan terbazir sepanjang Ramadan tahun ini tidak berlaku.