SADONG JAYA: Kehebatan Vet Gedong nyata sukar ditandingi apabila berjaya merangkul gelaran juara Kejohanan Bola Sepak Veteran Terbuka Piala Datuk Ir Aidel Haji Lariwoo 2025 selepas menumpaskan juara bertahan Lariwoo FC (3-1) pada aksi final di Padang Perpaduan Kampung Semera Lot, Sadong Jaya petang tadi.
Bekas penyerang Samarahan 2008, Roslan Hassan@Milo muncul wira Vet Gedong apabila menyumbat dua gol untuk pasukannya minit ke-35 dan 40. Gol awal Vet Gedong dijaringkan ketua Jaffar Ali minit ke-7.
Gol tunggal Lariwoo FC dijaringkan Wan Ismawi Wan Saet minit ke-25.
Kejayaan itu membolehkan pemain Vet Gedong membawa pulang wang tunai RM4,000 beserta piala dan pingat.
Sementara itu, wang tunai RM2,400 termasuk piala dan pingat diterima pemain Lariwoo FC selaku naib juara.
Keceriaan berganda buat Roslan Hassan@Milo apabila beliau dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir dan Wan Ismawi Wan Saet muncul penjaring terbanyak kejohanan (6 gol).
Kedua-dua pemain terbabit menerima hadiah wang tunai dan piala.
Pasukan Tedong Melancar dan Kabitra FC tewas diperingkat separuh akhir, masing-masing menerima wang tunai RM1,300 selain piala dan pingat selaku pemenang tempat ketiga bersama.
Dalam pada itu, pasukan Kaslo FC ‘A’ muncul juara kategori senior jemputan selepas mencatat kemenangan (5-4) ke atas Eboy United menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat (1-1) untuk masa penuh perlawanan.
Hasil kejayaan itu, pemain Kaslo FC ‘A’ membawa pulang wang tunai RM1,000 beserta piala dan pingat.
Manakala, wang tunai RM700, piala dan pingat diterima pemain Eboy United selaku naib juara.
Pasukan Kaslo FC ‘B’ dan Jemukan FC yang tewas diperingkat separuh akhir masing-masing menerima wang tunai RM500, piala dan pingat selaku pemenang tempat ketiga bersama.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sarawak merangkap Ahli Dewan Undagan Negeri (ADUN) N.24 Sadong Jaya, Datuk Ir Aidel Lariwoo.






