KUCHING: Rakaman video berdurasi 25 saat yang tular di media sosial membantu polis mengesan dan menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam kejadian khianat kabel di Jalan Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Nanga Chabu berkata suspek berusia 37 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kuching di kawasan Kampung Bintawa Ulu, kira-kira pukul 5.40 petang semalam.
Menurutnya, siasatan mendapati kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi pada 10 September lalu, apabila suspek dipercayai melakukan perbuatan khianat terhadap kabel dengan menggunakan tukul.
“Suspek dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan seperti yang dirakam dalam video yang kemudiannya tular di media sosial,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, hasil semakan polis mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau, manakala saringan awal ujian air kencing turut mendapati dia positif dadah.
Katanya, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sjn Mancha Anak Gubak di talian 019-5958260 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di talian 082-244444.
“Maklumat juga boleh disalurkan dengan hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
“Kerjasama orang ramai amat dihargai bagi membantu polis membanteras jenayah serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah Kuching,” jelasnya.






