PELAKON Bollywood Vivian Dsena mengakui tenang sejak memutuskan memeluk Islam pada Ramadan 2019.
Mengulas spekulasi umum tentang dirinya memeluk Islam, dia mengesahkan andaian tersebut dan meyakinkan peminat bahawa tidak banyak perubahan dalam hidupnya.
“Saya tenang dan damai mengerjakan solat lima waktu sejak saya bergelar mualaf,” katanya memetik media antarabangsa.
Dia turut berkongsi hantaran menerusi Instagram dengan kapsyen doa agar ibadahnya dan orang beriman pada Ramadan diterima Allah.
Pelakon drama bersiri Sirf Tum itu sangat menjaga kehidupan peribadinya.
Dia akui mengahwini bekas wartawan Mesir Nouran Aly tahun lalu dan dikurniakan anak perempuan bernama Layan Vivian Dsena.