Trending

Vokal mantap Putri Ariani pukau juri, audiens

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

SAYA seakan-akan kehilangan kata-kata, anda memiliki vokal sangat indah.

Yang saya fikirkan vokal ini versi yang sangat merdu.

“Sejujurnya, saat seperti inilah sebab saya masih melakukan pekerjaan ini”.

Demikian, antara kata-kata Juri American Got Talent (AGT), Simon Cowell yang tampil memberi pujian sambil menyifatkan vokal dimiliki penyanyi kelahiran Indonesia, Putri Ariani sangat merdu.

Menerusi peringkat separuh akhir AGT musim ke-18 baru-baru ini, Putri atau Ariani Nisma Putri, 17, membawakan I Still Haven’t Found What I’m Looking For lagu asal kumpulan U2. 

Justeru, selepas selesai persembahan Putri mendapat standing ovation juri dan penonton yang hadir di Pasadena Civic Auditorium, California, Amerika Syarikat.

Antara empat juri yang menyaksikan persembahan memukau ialah Simon Cowell, Sofia Vergara, Heidi Klum dan Howie Mandel.

Sebaik sahaja Putri selesai membuat persembahan, tepukan gemuruh memenuhi ruangan auditorium yang menandakan hadirin kagum dengan kemantapan vokal milik Putri.

Cowell turut menyifatkan nyanyian Putri Ariani sabagai momen paling indah.

PENGHARGAAN

Pada masa yang sama, penghargaan turut ditujukan Cowell buat anggota U2 kerana membenarkan Putri Ariani membawakan lagu berkenaan.

Difahamkan, anggota tersebut terdiri daripada vokalis Bono, The Edge, Adam Clayton dan Larry Mullen.

Cowell turut menyatakan ketika menyaksikan uji bakat Putri, mereka tahu pertandingan ini memberi makna yang cukup besar buatnya.

Sementara itu, salah seorang juri, Vergara turut mengagumi persembahan Putri Ariani ketika mengalunkan lagu tersebut.

“Belum pernah saya dengar nyanyian semerdu ini sepanjang hidup.

Setiap note, perasaan yang ditampilkan dalam nyanyian lagu kegemaran saya sangat mengagumkan,” luahnya.

Malah, nyanyian Putri yang berlangsung selama tiga minit itu menurut Vergara merupakan seni yang sangat sempurna.

Dalam pada itu, seorang lagi juri iaitu Heidi Klum menyifatkan nyanyian Putri sebagai jelmaan bidadari.

“Nyanyian anda yang sangat indah, saya fikir mungkin beginilah bunyi bidadari menyanyi.

“Saya harap Bono dapat mendengar nyanyian ini, dan saya doakan kejayaan anda dan terus mengekalkan kemantapan suara,” katanya.

Menghargai pujian tersebut Putri yang berada di pentas tampil tersenyum dan menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong sepanjang beraksi di pentas AGT.

“Saya ingin mengucapkan banyak terima kasih kepada Simon dan semua pihak yang sentiasa menyokong saya kerana anda telah mengubah hidup saya,” katanya.

Pada masa yang sama, Putri turut memohon orang ramai mengundinya.

Terdahulu, sebelum tampil memasuki uji bakat AGT Putri Ariani melahirkan rasa sedih apabila ramai yang melihatnya sebagai orang buta, bukan sebagai pemuzik.

UJI BAKAT

Bagaimanapun, kini Putri berjaya membuktikan kecacatan bukan halangan apabila berjaya pada sesi uji bakat yang berlangsung Jun lalu.

Kehebatan vokal penyanyi kebanggaan Indonesia ketika membawakan lagu berjudul Loneliness ciptaannya sendiri berjaya mendorong empat juri menekan Golden Buzzer.

Sebelum ini, Putri berkongsi impian kemenangan hadiah bernilai AS$1 juta (RM4.61 juta), yang mahu digunakan untuk melanjutkan pelajaran ke Kolej Muzik Juilliard selepas menamatkan pengajian sekolah menengah.

Dalam pada itu, kejayaan Putri Ariani sangat memberi inspirasi kepada banyak pihak kerana tidak membiarkan keterbatasan fizikal menjadi penghalang untuk mengejar impian.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru