Wabak influenza terkawal

KUCHING: Situasi jangkitan influenza yang dilaporkan di Malaysia kini tiada kaitan dengan virus novel coronavirus di Wuhan, China dan situasi influenza terkawal.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan memberitahu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan terkini daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai wabak novel coronavirus yang dilaporkan di wilayah tersebut.

“KKM akan terus memantau situasi kejadian penyakit radang paru-paru (pneumonia) ini dan sebarang perkembangan WHO akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Menurutnya, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

“Berdasarkan pemantauan yang dijalankan, tiada kes yang disyaki novel coronavirus dilaporkan di Malaysia.

Bagaimanapun, kita sentiasa mengambil langkah kesiapsiagaan dan terus dilaksanakan bagi menghadapi potensi penularan penyakit ini,” tegasnya.

Oleh itu katanya, seseorang yang mengalami gejala penyakit respiratori akut dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari Wuhan, China dinasihat pergi ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk menjalani pemeriksaan.

Pengembara yang dikesan mengalami demam pula, akan dipemeriksa semula di pusat kuarantin kesihatan atau tempat pemeriksaan di pintu masuk antarabangsa negara.

Dr Noor Hisham menjelaskan, anggota KKM di semua peringkat termasuk pintu masuk antarabangsa negara sudah dimaklumkan berkaitan kejadian kluster ini dan langkah pencegahan dan kawalan infeksi.

“Kita memberi penekanan dan memperkukuhkan aktiviti saringan demam sedia ada dalam kalangan pengembara oleh anggota-anggota yang bertugas di pintu masuk antarabangsa negara,” ujarnya.

Beliau menambah, saringan pesakit di klinik kesihatan dan jabatan kecemasan hospital diper-kukuhkan bagi memastikan kes-kes yang disyaki akan dirujuk dan dikendalikan dengan mematuhi langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi.

Selain itu, memperkukuhkan keupayaan bagi menjalankan ujian pengesanan dan pengesahan novel coronavirus dengan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) merupakan makmal sedia ada yang berkeupayaan untuk menjalankan ujian tersebut.

Pada 31 Disember 2019, pihak berkuasa China melaporkan mengenai satu kejadian kluster radang paru-paru (pneumonia) yang tidak diketahui punca jangkitannya, melibatkan masyarakat setempat di Wuhan, China.

Pihak berkuasa China juga melaporkan kepada WHO pada 5 Januari 2020 bahawa jangkitan tersebut bukanlah jangkitan influenza, avian flu, adenovirus, Middle East Respiratory Syndrome coronavirus (MERSCoV) ataupun Severe Acute Respiratory Syndrome (Sars).

Seterusnya pada 12 Januari 2020, WHO mengesahkan wabak yang berlaku di Wuhan, China ini disebabkan oleh jangkitan daripada coronavirus baharu (novel coronavirus).

Coronavirus baharu (novel coronavirus) adalah mana-mana strain baharu virus tersebut yang sebelum ini tidak pernah dikenal pasti atau dikesan pada manusia.

Cara jangkitan dan cara penularan virus itu adalah masih dalam siasatan.

Sehingga kini, sebanyak 41 kes radang paru-paru yang dilaporkan di Wuhan, China adalah positif novel coronavirus dan daripada jumlah itu, satu kematian telah dilaporkan dengan tujuh kes berada dalam keadaan yang kritikal, dan kes-kes lain adalah stabil.

Pada 13 Januari lalu, Thailand melaporkan kes import pertama novel coronavirus ini melibatkan seorang wanita yang berasal dari Wuhan, China yang dikesan dengan gejala demam dan jangkitan radang paru-paru.

Pesakit berada dalam keadaan stabil dan WHO memaklumkan insiden ini sedang dipantau rapi namun WHO tidak mengeluarkan sebarang larangan untuk pergi ke negara yang terlibat.

Suara Sarawak