Wabak rabies terkawal

LIMBANG: Orang ramai diingatkan mengambil langkah berjaga-jaga meskipun wabak rabies atau penyakit anjing gila di Sarawak masih terkawal.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, wabak rabies memberi kesan sejak penularan yang berlaku di negeri ini sejak dua tahun lepas.

Menurutnya, meskipun terkawal, wabak rabies membimbangkan kerana masih terdapat kes-kes kematian dicatat di kalangan manusia.

“Kita di Limbang tidak terkecuali, ada sebuah kampung di Limbang telah diisytihar wabak ini iaitu di Kampung Limpaki.

“Cuma satu sahaja kes yang berlaku di Limbang dan kita telah pun mengambil langkah pengawalan terutamanya dari segi kesedaran kepada orang ramai tentang bahaya wabak rabies ini,” katanya selepas merasmikan Fun Cat Show di Dewan Kampung Bunga Raya, baru-baru ini.

Beliau yang juga Adun Bukit Kota berkata, pemilik anjing perlu memastikan anjing mereka mendapat suntikan vaksin.

Katanya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan Limbang telah menggalakkan pemilik anjing untuk mendapatkan vaksin anti rabies.

“Selain anjing, kita juga mengalakkan pemilik-pemilik kucing di Limbang mendapatkan pemvaksinan secara percuma di Jabatan Veterinar Sarawak di Limbang ini.

“Program ini akan kita teruskan setiap tahun sehingga wabak ini dapat dikawal. “Kita dapat mengisytiharkan Sarawak bebas rabies yang disasarkan pada tahun 2025,” tambahnya.

Hadir sama wakil Residen Bahagian Limbang Aspalela Mohd Sahmoni, Pengurus Putra Cat Hotel and Services Kaunselor Sufian Mohat dan Pemanca Abu Bakar Tinggal.

Suara Sarawak