KUCHING: Pengerusi Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Sarawak, Waili Abang sedia bertanding bagi jawatan Presiden pada Mesyuarat Agung Dwitahunan (AGM) Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) yang akan diadakan dalam tempoh terdekat.
Bagaimanapun, beliau berkata impian ke arah itu hanya akan terlaksana sekiranya beliau dicalonkan dan mendapat sokongan dari ahli gabungan sedia ada.
“Terpulang kepada ahli gabungan, sekiranya mereka kata saya layak bertanding…saya sedia bertanding untuk merebut jawatan Presiden FAS pada AGM FAS itu kelak.
“Kalau saya bertanding mengikut kata hati tanpa mendapat sokongan dari ahli gabungan, ia hanya membuang masa sahaja,” katanya pada sidang media malam tadi.
Waili akui, setakat ini ada khabar angin terdapat ahli gabungan yang inginkan beliau bertanding untuk merebut jawatan nombor satu itu namun belum ada kesahihannya sehingga kini.
“Khabar angin itu cuma cakap-cakap kedai kopi sahaja setakat ini,” jelasnya.
Hadir sama Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Sarawak (PJBS), Bujang Adris Mayah.