Wakil Afrika Selatan dinobat Miss Universe 2019

ATLANTA: Wakil Afrika Selatan dimahkotakan sebagai Miss Universe di Atlanta pada acara gah yang dipenuhi ucapan menyentuh hati berkenaan pemerkasaan golongan wanita.

Zozibini Tunzi, 26, menduduki tempat pertama menewaskan fi nalis dari Puerto Rico dan Mexico dalam acara disiarkan secara langsung di televisyen, yang dikendalikan personaliti televisyen, Steve Harvey sebagai pengacara.

Sementara itu, Vanessa Lachey dan Olivia Culpo diberi mandat sebagai pengulas belakang tadbir manakala barisan pemenang ditentukan oleh tujuh barisan panel hakim wanita.

Tunzi menerima tepukan gemuruh hadirin ketika memberikan ucapan penutup, iaitu segmen terbaharu dalam pertandingan berprestij.

Dalam ucapannya, Tunzi bercakap akan keinginannya untuk memperkasakan golongan wanita muda agar tampil lebih berkeyakinan.

“Saya membesar dalam dunia yang menyaksikan wanita dengan kulit dan rambut seperti ini, tidak pernah dianggap cantik.

“Sudah tiba masanya sentimen seumpama itu dihentikan,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh penonton.

Tunzi menewaskan lebih 90 peserta seluruh dunia dalam pertandingan Miss Universe ke-68 yang diadakan di Studio Tyler Perry Atlanta.

Dua calon pilihan ramai, Miss Thailand Paweensuda Saetan-Drouin dan Miss Filipina Gazini Ganados, bagaimanapun gagal menempatkan diri dalam 10 finalis akhir.

Hadiah dan mahkota Tunzi disampaikan oleh Ratu Cantik Filipina, Catriona Gray yang juga pemenang Miss Universe 2018. -AFP

Suara Sarawak