Wakil rakyat GPS hulur sumbangan kilat bantu mangsa kebakaran rumah panjang di Stalon Belawai

TANJUNG MANIS: Nasib malang 56 penghuni Rumah Noh Bin yang hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran semalam, mendapat perhatian wakil rakyat kawasan berkenaan.

Prihatin dengan keadaan itu, ADUN N.41 Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh dan Ahli Parlimen P.206 Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab masing-masing menghulurkan sumbangan kilat bagi meringankan beban mangsa.

Sumbangan disampaikan melalui pegawai pusat khidmat masing-masing awal pagi tadi.

Sehubungan itu, Len Talif yang juga Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, berkata, kejadian mengakibatkan semua mangsa tinggal sepinggang.

“Difahamkan kejadian berlaku pantas mengakibatkan mereka tidak sempat menyelamatkan harta benda masing-masing.

Bagaimanapun, kesemua mereka terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kita telah menghulurkan bantuan segera kepada mangsa di samping akan melihat keperluan lain sebagai tindakan susulan, ” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Kejadian yang berlaku kira-kira 7.30 malam itu memusnahkan sepenuhnya rumah panjang berkenaan sekaligus mengakibatkan 15 keluarga sehelai sepinggang.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Manis, Khairul Basri Sulaiman, berkata, anggotanya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 8.06 malam.

“Bagaimana pun, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. Kawasan ini hanya dapat dihubungi dengan menggunakan bot melalui sungai,” katanya.

Api meranapkan rumah panjang tujuh pintu yang didiami seramai 56 penghuni ini.
Yusuf melalui Pusat Khidmat Tanjung Manis turut menghulurkan sumbangan

 

Wakil Pusat Khidmat N.41 Kuala Rajang menghulurkan bantuan bagi meringankan mangsa.

Suara Sarawak