Wakil rakyat GPS tidak simpan wang RTP – Abdullah Saidol

BINTANGOR: Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri ( Hal Ehwal Korporat), Abdullah Saidol menyelar sikap segelintir individu yang masih melemparkan tuduhan peruntukan Kerajaan Sarawak melalui Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) ‘masuk poket’ wakil rakyat.

Beliau menegaskan, kenyataan tidak berasas itu adalah satu pembohongan besar dan berniat jahat yang sengaja dilemparkan untuk menjatuhkan reputasi wakil rakyat terutama daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Katanya, peruntukan RTP disalurkan terus kepada agensi pelaksana seperti Pejabat Residen, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan sebagainya manakala, wakil rakyat pula hanya menyenaraikan projek yang diperlukan oleh rakyat sebelum dilaksanakan oleh agensi terbabit.

“Saya agak kesal kerana masih ada tuduhan seperti ini dilemparkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Ini adalah satu pembohongan dan kenyataan yang berniat jahat yang tidak akan membawa sebarang manfaat.

“Ada pihak masih membuat tuduhan liar mengatakan bahawa peruntukan RTP sebanyak RM5juta untuk setiap wakil rakyat GPS disalahguna oleh YB sendiri. Sebenarnya mereka tidak tahu yang peruntukan serta pembayaran untuk projek RTP siap diurus oleh agensi pelaksana seperti JKR. Kami tidak simpan satu sen pun peruntukan itu. Seandainya masih ragu, jangan malu untuk bertanya di mana- mana Pejabat Residen negeri ini.

Abdullah, Yusuf dan Ding bersama tetamu jemputan lain menyalakan pelita buluh sebagai simbolik perasmian program Semarak Raya di Kampung Bintangor.

“Kami tidak pegang duit RTP dan terus bayar kepada kontraktor. Itu tidak pernah terjadi dan tidak akan berlaku,” katanya kepada wartawan selepas Majlis Perasmian Semarak Aidilfitri di Kampung Bintangor malam tadi.

Abdullah menegaskan, mereka yang cuba menimbulkan buruk-sangka tentang peruntukan itu hanya sekadar meraih populariti politik murahan atau mungkin irihati dengan kejayaan perlaksanaan RTP yang terbukti berjaya mempercepatkan projek kecil-sederhana terutama di luar bandar.

Katanya, amalan politik sepatutnya ke arah mensejahterakan rakyat, memperkukuhkan perpaduan dan membawa pembangunan asas terutama ke arah luar bandar.

“Di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari, beliau mahu semua wakil rakyat GPS memberi tumpuan ke arah mempastikan semua rancangan pembangunan sama ada di bawah RTP atau yang diumumkan oleh ketua menteri sendiri dilaksanakan dengan cepat dan mengikut speksifikasi.

Program dimeriahkan dengan kehadiran lebih 1,000 penduduk setempat.

“Kami di GPS akan memberi tumpuan sepenuh kepada kerja-kerja serta penyampaian (delivery) kepada rakyat. Tidak masa untuk bermain politik murahan semata-mata untuk mengejar kuasa dan pengaruh.

“Kami dalam GPS tidak berminat untuk mengikut rentak politik sumbang dan jijik yang menjadi amalan parti-parti terutama dari Semenanjung Malaysia. Mereka tahu mereka berbohong dan kurang yakin untuk menunai janji-janji sebelum pilihan raya, sebab itu mereka sibuk memberi beraneka alasan merepek dan sibuk untuk menyalahkan orang lain atas kegagalan sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, sikap suka berburuk sangka dan menyebarkan fitnah khususnya melalui media sosial mencemarkan peranan sebenar medium pengantara digital yang sepatutnya dimanfaatkan untuk tujuan yang lebih berfaedah.

Katanya, pembangunan tidak hanya terhad dalam aspek material tetapi juga meliputi fizikal, memiliki masyarakat yang berbudaya tinggi, berfikiran maju, berakhlak mulia dan mengamalkan gaya hidup berkualiti.

“GPS di bawah kepimpinan ketua menteri amat mementingkan aspek kerohanian. Malah beliau sentiasa berpesan kepada kami, walau sesibuk manapun, jangan lupa untuk membangunkan warga negeri yang berkualiti, berakal dan mempunyai jiwa patriotik berjuang untuk kepentingan negeri.

“Ini kerana kami sedar, tidak guna kita membina sebuah rumah yang cantik tetapi di dalamnya ada penghuni berjiwa kosong dan moralnya hampir musnah,” tegasnya.

Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.42 Semop turut mengumumkan beberapa projek siap dilaksanakan di kampung Bintangor.

Antaranya, naik taraf Jalan Abdul Kadir dengan kos pembinaan sebanyak RM233,000, menaik taraf infrastruktur dan menurap semula Jalan Abang Amin dari selekoh Telekom ( RM159,000), menaik taraf Jalan Kampung Muhibbah (RM159,000).

Manakala projek RTP yang akan dilaksanakan dalam tahun 2019 pula ialah naik taraf jalan simen dan ganti benteng Jalan Abang Amin Utara Bintangor (RM380,000), naik taraf sistem peparitan dan jalan Datuk Hasmi menuju ke komplek komuniti (RM300,000).

Pada masa sama beliau turut mengumumkan projek pembesaran jalan kampung Abang Ali (RM500,000) yang dilaksanakan tahun depan selain baik pulih sebanyak 13 buah rumah rakyat di bawah Skim Bantuan Baikpulih Rumah dan sumbangan RM3,000 kepada PIBG SK Abang Amin.

Sementara dalam majlis yang sama di Semop beliau bersetuju menyumbang RM20,000 kepada JKKK bagi membantu aktiviti mereka.

“Warga Sarawak tanpa mengira fahaman politik mesti terus berjiwa patriotik mempertahan hak, kepentingan serta maruah negeri Sarawak. Jangan biarkan orang luar memperkotak-katik kemampuan dan kewarasan kita untuk berfikir secara matang.

“Yang lebih penting rakyat Sarawak mesti tahu siapa bekerja dan siapa yang berbohong,” katanya.

Hadir sama Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.46 Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.