Wakil rakyat peringkat Parlimen, Adun bekerjasama beri khidmat untuk masyarakat di Mukah

MUKAH: Kerajaan Sarawak melalui Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan terus bersama-sama wakil rakyat khasnya Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) membangunkan dan memberikan bantuan kepada masyarakat.

Jelas Ahli Parlimen Mukah Datuk Hanifah Hajar Tun Taib berkenaan dengan usaha beliau dalam membantu masyarakat khasnya di kawasan Mukah.

Ujarnya sebagai wakil rakyat di Bahagian Mukah kini, kesukaran tetap dihadapi beliau seperti mana ahli parlimen lain dalam mendapatkan peruntukan kewangan bagi pembangunan di kawasan masing-masing walaupun tampuk pimpinan kerajaan kini telah berubah.

“Sehubungan itu, ahli-ahli Parlimen telah membuat permohonan kepada Ketua Menteri Sarawak agar dapat melaksankan tugas mewakili rakyat dengan bantuan pembangunan, dan tahun lalu pihak kita menerima geran bagi melaksanakan pelbagai projek untuk rakyat antaranya membaiki rumah,” katanya dalam Majlis Perayaan Gong Xi Fa Chai Kampung Penakub Bazaar Tahun 2020 di Dewan Sekolah Rendah Ek Hua tadi.

Sebagai Ahli Parlimen, beliau terus berusaha untuk memberikan pembangunan yang adil di Bahagian Mukah dengan peruntukan yang disalurkan pada akan datang.

“Sehubungan itu, setiap permohonan oleh komuniti luar bandar perlu dilihat dan diteliti agar dapat dilaksanakan, oleh itu saya berharap agar rakyat sentiasa bersabar dan sebagai wakil rakyat, saya akan berusaha melaksanakannya mengikut sumber kewangan yang diperuntukan.

“Menerusi majlis yang ada pada hari ini saya berharap agar nilai persahabatan yang sedia ada dalam kalangan masyarakat yang hadir dapat dikukuhkan dengan sentiasa membantu dan memahami antara satu sama lain, semoga kita dimurahkan rezeki dengan kesihatan dan kesejahteraan yang lebih baik untuk tahun ini,”jelas Hanifah.

Dalam pada itu, Kapitan Kampung Penakub Bazaar Kueh Bing Chuan turut mengucapkan terima kasih atas beberapa projek yang telah siap diusahakan antaranya projek menyimen tempat letak kereta di SJKC Ek Hua yang telah diluluskan dan pelbagai lagi projek lain.

Selain itu, beliau turut memohon projek baru untuk kampung berkenaan seperti mana yang dirancang oleh JKKK seperti gelangang futsal, tempat letak kereta di kawasan dewan, parit bersimen, whaf atau jeti belian, pembinaan tembok kubur, peruntukan untuk kumpulan tarian singa dan tarian drum dapat dilaksanakan, ini termasuklah permohonan untuk memastikan Projek Dewan Serbaguna yang tergendala agar dapat diteruskan.

Dalam majlis berkenaan, Hanifah bersama-sama dengan ketua kaum berkesempatan menyampaikan Ang Pau dan cederahati kepada warga emas dan kanak-kanak yang hadir.

Turut hadir Penghulu Lee Liong Ing, Penghulu Tiai Jelani, Penghulu Basiri Keri, Ketua-ketua Kaum dan Kapitan-kapitan.

Suara Sarawak