KOTA KINABALU: Semalam telah bermulanya satu Ekspedisi Kembara Media melibatkan media dari Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah bersama dengan pihak media dari Petronas dan Yayasan Sabah ke Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak (ICCA) Tongod Sabah.
Perjalanan mengambil masa 9 jam tersebut menaiki 10 buah kereta pancuan empat roda membawa seramai 44 wakil media yang pada mulanya berkumpul di Bangunan Tun Mustapha (Yayasan Sabah) Kota Kinabalu.
Dari Kota Kinabalu ke Ranau perjalanan mengambil masa satu jam melalui jalan tar yang berliku liku dan berbukit-bukit .

Seterusnya ke Telupid selama empat jam yang mana menyusuri laluan bertanah sepanjang perjalanan ke ICCA tersebut.
Kembara pancuan empat roda tersebut turut diketuai oleh Mustafah Abdul Gafar @ Ayob 52 yang merupakan antara individu yang telah lama bergiat dalam konvoi pancuan empat roda sejak tahun 2002.
Wakil media dari Sarawak sendiri telah diwakili oleh Alwin Lawrence dari Suara Sarawak dan Nur Ain Otsman dari Utusan Sarawak telah menaiki pancuan empat roda bersama dengan yang dipandu oleh Azlan Mustafah 30.
Antara media yang turut serta ialah Bernama Sandakan, Astro Awani, Sin Chew Daily, Sabah News Today, Borneo Today, New Sabah Times, Daily Ekspress, Penerangan Sabah, RTM Sabah, Rojak Daily, Sinar Harian, Sinar TV, Media Prima News, Harian Metro dan The Star TV.
Lawatan selama empat hari tersebut ke ICCA juga menyaksikan perasmian pembukaan Pusat Pembelajaran Imbak Kanyon (ICSC) yang bakal dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Ekspedisi Kembara Media ke Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak Tongod Sabah bermula 23 sehingga 26 Mac ini juga merupakan anjuran Yayasan Sabah bersama dengan Petronas.
