
KUCHING: Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberi bayangan akan terus mempertahankan kerusi Parlimen Santubong pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu menjawab ringkas ketika ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Santubong pada PRU akan datang.
“Orang baik jangan di ‘retire’ (bersara) dulu,” katanya.
Beliau berkata demkian kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri Majlis Kenduri Rakyat Kampung Bako Hilir di sini, hari ini.
Pada PRU-13, Wan Junaidi mencipta majoriti terbesar setelah berjaya memperoleh sebanyak 20,936 undi bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dalam pertarungan empat penjuru.
Beliau memperoleh 24,655 undi menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zulrusdi Mohd Hol (3,719 undi), calon Bebas, Affendi Jeman (233 undi) dan Calon Star, Mura Kadir (206 undi).
Sementara pada PRU-14, Wan Junaidi mendapat 26,379 undian ketika menentang Mohamad Fidzuan Zaidi daripada parti Pakatan Harapan (PH) yang memperoleh 6,894 undi.
Bekas Ahli Parlimen Batang Lupar terbabit sebelum ini juga pernah dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 2008.