ARTIKEL

Atlet boling negara, Wan Zarif Ikram menunjukkan pingat emas yang dimenanginya selepas berjaya menewaskan atlet boling Hong Kong, Jovi Ma, pada Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-23 di Sunway Pyramid.

Wan Zarif rangkul gelaran Masters Lelaki Remaja Asia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PETALING JAYA: Selepas tujuh tahun, Wan Zarif Ikram kembali mengukir senyuman buat pasukan negara apabila menuai pingat emas menerusi acara Masters lelaki pada Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-23 di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway di sini hari ini. 

Atlet berusia 17 tahun yang membuat penampilan kedua pada kejohanan berkenaan menumpaskan Jovi Ma dari Hong Kong (385 mata) setelah merekodkan keseluruhan 427 jatuhan pin, manakala pingat gangsa acara sama dimenangi rakan senegara, Ethan Damien Goh. 

Tanpa mengenal erti putus asa, Wan Zarif yang merupakan atlet pelapis, mengakui turun dengan mentaliti juara membantu dirinya mengungguli podium di hadapan peminat sukan tenpin boling tanah air. 

“Saya tak sangka sebab dari hari pertama kerja keras untuk acara individu (tetapi) tidak menjadi. Memang ada kekecewaan (namun) saya berjuang hingga ke akhirnya. Alhamdullilah hari ini, dan saya ucapkan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan. 

“Selepas ini saya akan sertai Sukan Malaysia (SUKMA) dan menjadi wakil Terengganu. Saya sasarkan (acara) Single, All Events dan Masters,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Sementara itu, jurulatih skuad remaja kebangsaan Alex Liew menyatakan rasa gembira apabila anak buahnya menyerlah dalam acara berkenaan yang kali terakhir dimenangi Tun Hakim pada edisi Kuching, Sarawak 2017. 

“Kita ingatkan Wan Zarif untuk kekal tenang dan jangan terburu-buru. Dia melakukannya dengan baik dan saya gembira dengan keputusan keseluruhan. Saya kecewa dengan acara berpasukan sebelum ini sebab kita mempunyai masalah dan ini seperti membayar balik dengan dapatkan pingat emas,” katanya. 

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia menutup kempen edisi ke-23 dengan tiga emas, dua perak dan tiga gangsa. 

Malaysia sebelum ini menuai dua pingat emas menerusi acara All Events wanita yang diwakili Afiqah Kamilia Ali, selain atlet berusia 18 tahun itu membantu Intan Nor Edryana Nor Azliman, Nur Ainul Hayat Ad Nor dan Adelia Nur Irwan Syazalee menjuarai acara berpasukan wanita. 

Dua pingat perak pula disumbang Intan Nor Edryana (All Events wanita) dan Malaysia B yang diwakili Amin Zulkarnain Zulkifli, Eldred Kho Yek Zhen, Muhammad Aiman Syahin dan Muhammad Aqil Faizal menerusi acara berpasukan lelaki. 

Tiga pingat gangsa pula diperolehi menerusi Ethan Damian Goh dalam acara individu lelaki dan Master lelaki serta Qurratu’ain Izdihar Mohd Pozi (individu wanita). – BERNAMA 

BERITA LAIN

Empat pasukan buru gelaran juara Piala FA Serian

SERIAN: Saingan peringkat separuh akhir kempen Piala FA Serian berlangsung Ahad ini (28 Julai). Sekali gus, menyaksikan pertembungan hebat empat pasukan handalan dalam mengintai tiket

Sentinels STK muncul juara futsal

KUCHING: Pasukan Sentinels STK dari Kuching melakar kejutan muncul juara Kejohanan Futsal Runati sempena Hari Sarawak 2024 yang berlangsung di Stadium Tertutup Bukit Lima, Sibu

BERITA TERBARU

Empat pasukan buru gelaran juara Piala FA Serian

SERIAN: Saingan peringkat separuh akhir kempen Piala FA Serian berlangsung Ahad ini (28 Julai). Sekali gus, menyaksikan pertembungan hebat empat pasukan handalan dalam mengintai tiket