Wang RM107,000 ditemui dalam kotak di pusat kitar semula

BRITAIN: Sekumpulan pekerja di pusat kitar semula meminta bantuan polis mencari pemilik wang tunai £19,682 yang ditemui di dalam kotak.

Polis cawangan Avon and Somerset memberitahu Pusat Recycle for Bathnes di Midsomer Norton memeriksa sebuah kotak bagi memastikan ia tidak mengandungi kabel elektrik, namun mereka tekejut apabila mendapati kotak itu dipenuhi duit.

Setelah dikira jumlah hampir mencecah £20,000 (RM107,000).

Pusat itu kemudiannya menghubungi polis bagi mencari pemilik kereta yang meninggalkan beberapa kotak barangan kitar semula pada pagi tersebut.

Pihak polis berjaya mengesan pemilik kenderaan itu dan mereka mengesahkan ada meninggalkan beberapa kotak di pusat itu.

Mereka memberitahu kotak-kotak itu milik salah seorang anggota keluarga mereka yang baru meninggal dunia.

Menurut polis lagi, keluarganya tahu perangai makcik mereka yang suka menyimpan duitnya di merata tempat, namun terkejut mengetahui salah sebuah kotak itu dipenuhi wang yang begitu banyak.

Wang tersebut kemudiannya dikembalikan kepada keluarganya.

 

Suara Sarawak